KUALA LUMPUR 28 Okt - Jaecoo memperkenalkan kenderaan elektrik hybrid plug-in (PHEV) SUV, Jaecoo J7, di kedai pop-up pengalaman pertamanya, dengan lebih 3,000 pengunjung dicatatkan dalam tempoh lima hari.
Walaupun PHEV dan kenderaan elektrik hibrid tradisional (HEV) semakin biasa, interaksi Jaecoo dengan pengunjung pada pratonton tersebut meningkatkan pemahaman mengenai PHEV yang dapat membantu pemandu membuat keputusan yang bijak.
Jaecoo J7 ditawarkan dalam dua varian iaitu 4WD dan 2WD masing-masing pada harga RM180,000 dan RM170,000.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen berkata, syarikatnya komited untuk memimpin peralihan kepada penyelesaian automotif yang lebih bersih dan efisien dengan menawarkan teknologi inovatif yang memenuhi keperluan pemandu moden.
Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek pula menyifatkan, PHEV keluarannya mewakili langkah seterusnya dalam perjalanan ke arah masa depan yang lestari dan memberikan pemandu pengalaman serta kelebihan unik enjin elektrik dan hibrid.
"Sebagai kenderaan terbaik di kelasnya, pratonton yang kami laksanakan boleh membantu pemandu membuat keputusan bijak dalam memilih kenderaan yang paling sesuai berdasarkan keperluan dan gaya pemanduan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun kedua-dua teknologi PHEV dan HEV menyumbang kepada pelepasan karbon yang lebih rendah, PHEV direka untuk memberikan fleksibiliti, efisiensi dan pengalaman pemanduan yang unggul dalam pelbagai keadaan.
PHEV membenarkan perjalanan jauh dan lebih lama hanya dengan kuasa elektrik berbanding HEV, yang bergantung kepada kapasiti bateri yang kecil.
Contohnya, dalam perjalanan harian atau pemanduan di bandar, PHEV boleh menempuh jarak 40 hingga 50 kilometer (bergantung pada model) tanpa menggunakan sebarang petrol, yang membolehkan pemandu merasai pengalaman pemanduan tanpa emisi, lebih senyap dan lebih efisien untuk kebanyakan perjalanan jarak pendek, menjadikannya ideal untuk persekitaran bandar.
Jarak bateri J7 PHEV adalah 88 kilometer berdasarkan Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Sejagat (WLTP).
Selain itu, PHEV menawarkan fleksibiliti untuk mengisi kenderaan di rumah atau di stesen pengecasan awam, manakala HEV sebaliknya, hanya boleh mengecas bateri melalui brek regeneratif atau kuasa enjin, yang mengehadkan potensi pemanduan elektrik.
PHEV juga membolehkan pertukaran lancar antara kuasa elektrik dan petrol apabila diperlukan, menawarkan pecutan dan prestasi yang lebih baik berbanding HEV.
Dalam situasi di mana tork segera diperlukan seperti memotong atau mengharungi bukit curam, motor elektrik PHEV dapat memberikan kuasa tambahan dengan serta-merta, menjadikannya pilihan yang lebih versatil untuk pemanduan di bandar dan perjalanan jarak jauh.
Berbeza dengan HEV, yang perlu menggunakan petrol selepas tempoh pemanduan elektrik yang singkat, PHEV boleh beroperasi menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya untuk kebanyakan perjalanan harian yang lebih pendek, secara signifikan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api.
Ini memberi pemandu kebebasan untuk memilih kuasa elektrik untuk perjalanan tempatan dan petrol untuk perjalanan jarak jauh, tanpa menjejaskan prestasi.
Memandangkan PHEV boleh beroperasi dalam tempoh yang lebih lama tanpa bergantung kepada enjin pembakaran dalaman, ia menyumbang kepada pengurangan pengeluaran karbon, terutamanya di tengah kebimbangan tentang kualiti udara.
HEV, walaupun efisien dari segi bahan api, masih memerlukan penglibatan enjin yang berterusan, menjadikan PHEV pilihan yang lebih bersih dalam banyak senario pemanduan.
Baru-baru ini, satu kontinjen multinasional yang terdiri daripada Malaysia, Itali, Mexico, Arab Saudi, Sepanyol, Turki dan United Kingdom telah menguji J7 PHEV bagi jarak perjalanan lebih 1,300 kilometer dari Guangzhou ke Wuhu, China, hanya dengan satu tangki bahan api dan bateri penuh tanpa berhenti untuk mengecas. - DagangNews.com