Jati Tinggi menang kontrak kerja pemasangan kabel bawah tanah RM51 juta di Cyberjaya | DagangNews Skip to main content

Jati Tinggi menang kontrak kerja pemasangan kabel bawah tanah RM51 juta di Cyberjaya

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 2 Okt - Syarikat infrastruktur dan kejuruteraan Jati Tinggi Group Bhd memperoleh sub-kontrak bernilai RM50.87 juta untuk pemasangan kabel litar tunggal bawah tanah 132kV di Cyberjaya, Selangor.

 

Kontrak itu telah diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holdings Sdn Bhd, oleh Worktime Engineering Sdn Bhd, menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia.

 

Jati Tinggi berkata skop kerja termasuk pembekalan dan pemasangan kabel kuasa, kabel gentian optik, penyambungan dan penamatan, pengujian, pentauliahan dan aktiviti sampingan lain.

 

Projek ini dijangka menjangkau lebih 22 bulan.

 

Sehingga kini, Jati Tinggi telah memperoleh lima kontrak seumpamanya berjumlah RM118.26 juta pada Mac, Julai dan September tahun ini.

 

Pada September, Jati Tinggi memperoleh dua kontrak berasingan bernilai RM36.36 juta daripada Worktime Engineering dan YM Teras Sdn Bhd untuk memasang kabel bawah tanah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

 

Pada Mac dan Julai, syarikat itu menerima dua lagi kontrak berjumlah RM42 juta daripada Worktime Engineering untuk meletakkan kabel bawah tanah untuk pusat data di wilayah selatan.

 

Bulan lalu, Jati Tinggi memperoleh kontrak RM39.9 juta daripada YM Teras untuk pemasangan kabel bawah tanah polietilena bersambung silang aluminium 33kV untuk pembangunan aset di Selangor. - DagangNews.com