JCorp lancarkan operasi kontena baharu di Pelabuhan Tanjung Langsat, pacu pertumbuhan dan inovasi | DagangNews Skip to main content

JCorp lancarkan operasi kontena baharu di Pelabuhan Tanjung Langsat, pacu pertumbuhan dan inovasi

Dari kiri Akmal Ahmad, Anthony Loke Siew Fook, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Liew Chin Tong, Jana Santhiran Muniayan dan Dr. Badrul Hisham Kassim semasa majlis merasmikan operasi kontena anak syarikat JCorp, JLand Group di Pelabuhan Tanjung Langsat, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

JOHOR BAHRU 4 Okt - Johor Corporation (JCorp), melalui anak syarikatnya JLand Group (JLG), secara rasmi melancarkan operasi kontenanya di Pelabuhan Tanjung Langsat yang merupakan satu pencapaian penting yang bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak, gas dan logistik di pentas global. 

 

Pembangunan itu menandakan satu lagi langkah penting yang telah diambil dalam mentransformasikan ekonomi negara selari dengan matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal merangsang pertumbuhan di wilayah selatan negara.

 

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur & Komunikasi Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah Bahagian Hartanah & Infrastruktur Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi JLand Group, Datuk Sr. Akmal Ahmad.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor, Rosnan Fathlal; serta Pengarah Eksekutif TLP Terminal Sdn Bhd (TLP Terminal), Datuk Shahrull Allam Shah Abdul Halim.

 

Pelancaran Pelabuhan Tanjung Langsat hari ini yang diusahakan bersama oleh TLP Terminal dan Puncak Kosmo adalah selaras dengan visi strategik negeri Johor untuk memajukan lagi pelabuhan tersebut sebagai pintu masuk yang berdaya saing dan cekap untuk memacu pertumbuhan masa hadapan.

 

Siew Fook berkata, kepakaran TLP Terminal dalam mengendalikan kargo pukal, separa pukal dan cecair, terutamanya dalam sektor petroleum dan minyak boleh dimakan, menjadikannya sebagai teras rangkaian logistik dan rantaian bekalan Johor. 

 

"Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat telah menarik pelaburan sebanyak RM34 bilion dan mewujudkan lebih 15,500 pekerjaan.

 

"Pada tahun 2023 secara khususnya, Johor memperoleh pelaburan bernilai RM43.1 bilion yang mana telah menghasilkan lebih 19,000 pekerjaan, yang membuktikan kelebihan strategik dan kekuatan industri negeri ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JCorp atas rancangan untuk meningkatkan kemampuan Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC) serta membangunkan kawasan perindustrian baharu di bahagian timur Johor. 

 

Katanya, peluasan TLIC bakal meningkatkan jumlah kontena secara signifikan dan menjadikan Pelabuhan Tanjung Langsat sebagai pintu masuk utama bagi industri TLIC dan kawasan sekitarnya.

 

Menurutnya lagi, rancangan TLP Terminal untuk memperluaskan kemudahan kontenanya bagi memenuhi permintaan masa hadapan dan menarik perniagaan baharu, akan mengukuhkan peranan pelabuhan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Johor. 

 

Beliau juga menekankan kepentingan meningkatkan produktiviti dan menyediakan peralatan yang sesuai bagi memenuhi keperluan industri dengan cekap. 

 

"Kementerian Pengangkutan menyokong sepenuhnya usaha TLP Terminal dalam meningkatkan kemudahan kontena bagi mengendalikan jumlah kargo yang dijangka meningkat di kawasan ini.

 

"Melangkah ke hadapan, Tanjung Langsat bersedia memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat multinasional. Dengan kemudahan kontenanya, TLP Terminal memainkan peranan penting dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal menyumbang kepada peningkatan ekonomi serantau," katanya. - DagangNews.com