KUALA LUMPUR 26 Dis - Jumlah perdagangan industri ternakan di Malaysia meningkat 23.2% atau RM254.7 juta, kepada RM1.4 bilion pada 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertumbuhan itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap ternakan dan produk berkaitan bagi memenuhi keperluan penggunaan domestik dan industri.
Semakan Statistik Perdagangan Malaysia (MTSR) 2024menunjukkanprestasi perdagangan Malaysia untuk industri ternakan dengan memfokuskan kepada ternakan terpilih seperti ayam, telur, lembu, biri-biri dan kambing, itik dan babi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, industri ternakan di Malaysia telah mencatat perkembangan dan pertumbuhan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada sektor pertanian negara.
"Sektor ayam dan telur kekal sebagai penyumbang terbesar kepada subsektor ternakan dan memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan protein rakyat Malaysia.
"Nilai eksport ayam mencapai RM726.7 juta pada 2023, meningkat 27.0 peratus atau RM154.4 juta berbanding tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Belau berkata, pengeluaran telur di Malaysia terus mencatat prestasi yang memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM671.2 juta pada 2023 serta memenuhi permintaan pasaran di peringkat serantau.
Katanya, industri ruminan di Malaysia masih didominasi oleh sektor luaran. Nilai import lembu hidup meningkat pesat bagi memenuhi penggunaan domestik dengan peningkatan nilai import daripada RM82.8 juta pada 2022 kepada RM108.7 juta pada 2023.
"Nilai import ternakan untuk biri-biri dan kambing mencapai RM27.2 juta pada 2023 dimana Australia dan Indonesia kekal sebagai pengeksport utama ke Malaysia.
"Industri itik mencatatkan prestasi yang sangat kukuh pada tahun 2016 dengan jumlah nilai perdagangan RM4.6 juta. Namun, ia mengalami penurunan besar 93.7% kepada RM45,124 pada 2023.
"Perdagangan babi di Malaysia meningkat daripada RM141.7 juta pada 2022 kepada RM 179.1 juta pada 2023," katanya.
Mohd Uzir berkata, Singapura terus menjadi destinasi eksport utama produk ternakan di Malaysia dengan menyumbang 96.4% daripada jumlah eksport ternakan.
Katanya, Vietnam dan Brunei juga merupakan sebagai destinasi eksport utama selain Singapura.
"Sebaliknya, negara asal utama import ternakan ialah Australia, New Zealand dan Thailand, dimana secara kolektif menyumbang 84.8% daripada jumlah import ternakan di Malaysia," katanya.- DagangNews.com