KUALA LUMPUR 24 Okt - KC Global Media mengumumkan pelancaran saluran Penstriman Televisyen Percuma dengan Sokongan Iklan (FAST) yang pertama, KCM, dengan kerjasama strategik bersama penyedia kandungan penstriman ulung negara, sooka.
KCM memberi pilihan pelbagai kandungan premium kepada penonton termasuklah drama bersiri, filem pecah panggung dan pemenang anugerah serta hiburan berfakta dalam bahasa Inggeris.
Hiburan berfakta termasuklah filem dan dokumentari seperti Cristiano Ronaldo: The One and Only, Messi: The Greatest, BTS: Global Takeover, Taylor Swift Dare to Dream, Lady Gaga: Encore, Tech Billionaires: Elon Musk, Bruno Mars: Just the Way I Am, John Cena: Champion of the Ring; dan banyak lagi program kegemaran peminat.
Bagi kategori drama pula, pelbagai genre ditawarkan termasuklah fantasi, pengembaraan, aksi sejarah, sains fiksyen, thriller misteri dan karya seperti 5ive Days to Midnight, Aardvark, We Have Always Lived in the Castle; dan banyak lagi.
George Chien selaku pengasas bersama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden KC Global Media optimis dan teruja dengan kerjasama itu yang melibatkan KCM dan sooka.
"Pasaran saluran FAST sekarang berkembang pesat, dan pihak kami sangat teruja untuk menjalin kolaborasi dengan rakan kami, Astro, untuk memperkenalkan KCM kepada para penonton sooka di Malaysia, dengan tawaran kandungan yang menyeluruh dan membawa hiburan kepada lebih isi rumah.
"Kolaborasi strategik ini merupakan komitmen dua syarikat dalam menyalurkan kandungan-kandungan yang pelbagai dan dekat di hati rakyat Malaysia. KCM akan menjadi saluran ketiga yang tersedia di sooka selain AXN dan ONE, yang kedua-duanya itu merupakan peneraju saluran hiburan umum dan Korea," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Chu Young Lee, Pengarah sooka & Njoi berkata, pihaknya sangat teruja untuk berkolaborasi dengan KC Global Media untuk melancarkan KCM di sooka.
"Kerjasama ini selari dengan komitmen kami untuk menyampaikan kandungan luar biasa dan pelbagai buat para penonton. Dengan penyertaan KCM, kami telah mengembangkan saluran-saluran percuma kepada 20, sekali gus menawarkan hiburan menyeluruh dan berkualiti tinggi untuk semua orang," jelasnya.
Buat masa ini, KCM tersedia secara percuma untuk semua pengguna berdaftar sooka.
Para pengguna boleh mendaftar untuk sooka tanpa sebarang bayaran, manakala bagi mereka yang menginginkan kandungan hiburan dan sukan premium, mereka boleh melanggan daripada harga RM12.90. - DagangNews.com