KUALA LUMPUR 19 Nov - Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan tawaran tender bagi membekalkan 5 buah helikopter ringan baharu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu dimaklumkan menerusi maklumat yang telah dikemaskini dalam laman rasmi portal ePerolehan KDN.
Tiada kenyataan lain mengapa tawaran tender helikopter ringan tersebut dibatalkan.
Bagaimanapun, tawaran bagi tender membekal 7 kapal terbang pengangkut enjin berkembar untuk kegunaan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM ini masih diteruskan.
Bahagian Perolehan KDN minggu lalu membuka 2 tender berkenaan secara berasingan kepada syarikat yang layak.
Tender helikopter ringan ini untuk menggantikan helikopter AS355 Ecureuil sedia ada yang telah dioperasikan sejak 30 tahun lalu.
Mengikut tender tersebut, kontraktor yang berjaya hendaklah membekalkan helikopter-helikopter ini dalam tempoh 2 tahun selepas kontrak dimeterai.
AS355 Ecureuil merupakan helikopter ringan yang lasak, serba boleh dan menjadi pilihan banyak pasukan keselamatan termasuk tentera di dunia.
Dengan pembatalan tender helikopter ringan ini adakah rancangan untuk menggantikan pesawat AS355 Ecureuil diteruskan tidak diketahui.
Dalam pada itu, tidak dapat dipastikan sama ada pembatalan tawaran tender ini ada kaitan dengan keputusan kerajaan hendak menyewa 28 buah helikopter untuk pasukan keselamatan termasuk tentera.
Keputusan tersebut bagi memenuhi keperluan menjalankan operasi udara harian dan misi-misi tertentu selain peperangan.
Ini kerana mengikut agihan nanti, PDRM akan menerima sebanyak 7 buah helikopter jenis Bell 429 GlobalRanger.
Bell 429 GlobalRanger merupakan helikopter ringan enjin berkembar yang berada dalam kategori sama seperti AS355 Ecureuil.
Selebihnya untuk TUDM, TLDM, APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Perdana Menteri. - DagangNews.com