MAICSA, Universiti Reading Malaysia anjur forum bertemakan kelestarian, fokus kepada daya tahan korporat | DagangNews Skip to main content

MAICSA, Universiti Reading Malaysia anjur forum bertemakan kelestarian, fokus kepada daya tahan korporat

Oleh Shamsiah Zulkafli

JOHOR BAHRU 19 Nov - Institut Setiausaha Berkanun dan Pentadbir Malaysia (MAICSA), dengan kerjasama Universiti Reading Malaysia, menganjurkan sebuah forum bertajuk Kelestarian Hari Ini untuk Hari Esok, yang menekankan peranan penting amalan kelestarian untuk daya tahan korporat dalam jangka masa yang panjang. 

 

Acara yang merupakan sebahagian daripada penglibatan strategik MAICSA di daerah selatan, berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan bersama profesional dan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin tadbir urus akan datang.


 
Forum yang dihadiri lebih 100 peserta termasuk ahli MAICSA dan pelajar Universiti Reading Malaysia, menekankan keperluan untuk mengintegrasikan amalan kelestarian dalam rangka kerja korporat. 

 

Presiden MAICSA, Dato’ Akbar Moidunny berkata, fokus forum itu adalah isu kelestarian, dengan mengambil kira pelan penggantian yang berkesan sebagai elemen utama untuk kesinambungan dan ketahanan perniagaan. 

 

"Kelestarian bukan sekadar konsep untuk hari esok, ia adalah keperluan bagi strategi korporat untuk memastikan kejayaan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Johor, Azrin Mohd Ripin pula berkata, pihaknya telah mengerakkan strategi dan pendekatan yang menyokong agenda reformasi dalam memperkukuhkan rangka kerja tadbir urus, termasuk ekosistem sektor korporat. 

 

"SSM telah melabur secara serius dalam program kesedaran, latihan dan pembangunan untuk memastikan semua pihak bersedia untuk melaksanakan perubahan ini. 

 

Hasilnya, kita melihat lebih banyak syarikat memperbaiki usaha mereka untuk mengamalkan amalan terbaik bagi tadbir urus korporat dan kelestarian," ujarnya.

 

Pada acara sama, turut diberi penekanan ialah bagaimana pendigitalan tadbir urus korporat dapat meningkatkan kecekapan dan ketelusan, amalan tadbir urus terkini termasuk ​Malaysian Business Reporting System (MBRS), Directors’ Circular Resolution (DCR) serta penyelesaian digital seperti e-Board dan e-Office (e-BOSS). 

 

Perbincangan itu memfokuskan kepada kepentingan memanfaatkan perubahan digital untuk meningkatkan tadbir urus dan menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang berkembang. 

 

Forum berkenaan turut menekankan komitmen MAICSA untuk melengkapkan profesional tadbir urus dan pelajar dengan pengetahuan untuk membentuk masa depan yang lestari. - DagangNews.com