Kenaikan secara beransur-ansur duti eksais minuman bergula dijangka beri impak negatif kepada sektor pengguna - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Kenaikan secara beransur-ansur duti eksais minuman bergula dijangka beri impak negatif kepada sektor pengguna - CIMB Securities

Gambar: Christian Chen/Unsplash
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kenaikan duti eksais bagi minuman bergula sebanyak 40 sen seliter secara berperingkat bermula 1 Januari 2025 diramal memberi memberi impak negatif kepada sektor pengguna.

 

CIMB Securities berkata, bagi syarikat makanan dan minuman (F&B) yang menawarkan minuman sedia untuk diminum dengan kandungan gula tinggi, kenaikan duti eksais ke atas cukai minuman bergula sebanyak 40 sen seliter adalah negatif, kerana ia mungkin menyebabkan permintaan yang lebih rendah bagi produk ini.

 

“Bagaimanapun, kami percaya impak negatifnya adalah minimum, kerana syarikat F&B berkemungkinan mempercepatkan usaha untuk merumuskan semula produk mereka untuk mengekalkan kandungan gula di bawah paras cukai minuman bergula.

 

“Ini adalah langkah yang diambil oleh syarikat F&B yang terjejas seperti yang dilihat semasa pelaksanaan cukai gula sebelum ini dari 2019 hingga 2024.

 

"Kerajaan bagaimanapun tidak memperluaskan rangkaian produk yang tertakluk kepada cukai gula, seperti susu pekat," katanya alam atu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pengguna, menahan butiran tambahan mengenai langkah Belanjawan 2025, khususnya mengenai rangkaian produk yang akan terjejas oleh cadangan lanjutan cukai jualan ke atas barangan tidak penting.

 

CIMB Securities berkata, kejutan utama bagi sektor pengguna ialah rancangan kerajaan untuk menaikkan cukai jualan ke atas barangan bukan keperluan dan barangan makanan premium, seperti salmon dan alpukat yang diimport.

 

“Bagaimanapun, tiada butiran jelas diberikan mengenai produk mana yang akan diklasifikasikan sebagai barangan keperluan harian atau makanan asas.

 

"Kami berpendapat, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan industri untuk memuktamadkan skop dan kadar cukai," katanya.

 

CIMB Securities berkata, pengumuman kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 akan memberi kesan jangka pendek ke atas perbelanjaan buruh, yang dianggarkan menyumbang purata 15% kos operasi bagi stok pengguna.

 

"Kami menjangkakan syarikat pengguna akan menaikkan harga jualan untuk menyalurkan kos tambahan," katanya.

 

Selain itu, CIMB Securities berkata, ia mengekalkan pandangan neutral mengenai rancangan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol RON95 mulai pertengahan 2025.

 

“Walaupun ini sepatutnya membawa kepada peningkatan kos operasi untuk syarikat, kami menjangkakan kesan ini terhadap kuasa perbelanjaan pengguna adalah minimum.

 

"Ini berdasarkan kenyataan kerajaan yang mereka akan terus mengekalkan subsidi untuk 85% penduduk sambil mengeluarkannya untuk warga asing dan berpendapatan 15% teratas," katanya.- DagangNews.com