Kenaikan tarif elektrik membebankan sektor industri Malaysia, kata FMM | DagangNews Skip to main content

Kenaikan tarif elektrik membebankan sektor industri Malaysia, kata FMM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Dis - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) sekeras-kerasnya membantah cadangan kenaikan tarif asas elektrik sebanyak 14.5% pada bulan Julai 2025.

 

Malah, persekutuan tersebut turut menggesa kerajaan untuk mengadakan dialog segera dengan pihak berkepentingan mengenai perkara tersebut.

 

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya juga menyarankan kerajaan mengekalkan kadar tarif industri bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif serta menarik minat pelabur asing, lebih-lebih lagi ketika sektor pembuatan kini menghadapi cabaran yang sangat sukar dengan peningkatan kos dan ketidaktentuan.

 

"Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh sektor pembuatan pada tahun depan adalah pelaksanaan gaji minimum dan kos pematuhan lain susulan perubahan peraturan.

 

"Sektor ini juga menghadapi ketidaktentuan global seperti ketegangan geopolitik, kelemahan rantaian bekalan yang berterusan dan perubahan dasar perdagangan termasuk kemungkinan tarif baharu atau lebih tinggi yang dikenakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Thian Lai berkata, sektor industri juga menyaksikan peningkatan kos sejak beberapa tahun lalu termasuk harga gas asli, tarif air dan elektrik, caj logistik dan kos teknologi maklumat (e-invois).

 

Sektor pembuatan dan industri berdepan dengan peningkatan kos baharu daripada kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 mulai 1 Februari yang dijangka menambah RM10.8 bilion setiap tahun kepada perbelanjaan gaji serta pelaksanaan sistem levi berbilang peringkat.

 

Di samping itu, sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing pula dijangka memberi beban tambahan minimum RM6.6 bilion setahun kepada kos gaji. - DagangNews.com