Kenanga Investors, Yayasan Waqaf Malaysia lancar ETF berciri wakaf pertama di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors, Yayasan Waqaf Malaysia lancar ETF berciri wakaf pertama di Bursa Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Dis - Anak syarikat milik penuh Kenanga Investors Bhd, Eq8 Capital Sdn Bhd, bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melancarkan Dana Dagangan Bursa (ETF) dengan ciri wakaf pertama di dunia.

 

Eq8 FTSE Malaysia Enhanced Dividend Waqf ETF (EQ8WAQF) disenaraikan di Pasaran Utama, melonjak dua sen melebihi harga terbitan RM1, dengan 4,000 saham diniagakan.

 

ETF wakaf itu mewakili komitmen berterusan Kenanga Investors dan kumpulan syarikatnya untuk menyertai Pelan Induk Pengurusan Kekayaan dan Dana Islam Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Rangka Kerja Dana Berasaskan Wakaf bersama dengan penambahbaikan kepada Keperluan Penyataan Pasaran Utama Bursa Malaysia. 

 

Ia adalah produk ketiga berasaskan wakaf oleh kumpulan yang telah diterbitkan sejak pelancaran Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan pada tahun 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Datuk Ismitz Matthew De Alwis berkata, pelancaran ETF dengan ciri wakaf pertama di dunia bersama YWM menandakan pencapaian penting dan menekankan komitmen tidak berbelah bahagi Kenanga Investors untuk memajukan pelaburan impak, terutamanya dalam iklim semasa. 

 

"Wakaf kini diiktiraf secara meluas sebagai tonggak penting dalam pembangunan sosio-ekonomi Malaysia dan menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

 

"Kami melihat pelancaran ini selaras dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan kerjasama antara badan agama, sektor awam dan swasta bagi memaksimumkan potensi aset wakaf untuk membiayai projek-projek seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pemberdayaan ekonomi dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif Eq8, Syed Umar Abdul Rahman Alhadad berkata, ETF wakaf itu bertujuan mengagihkan pendapatan secara tahunan, dengan separuh daripadanya diperuntukkan sebagai aset wakaf dan separuh lagi dibayar kepada pemegang unit.

 

Beliau berkata, ETF wakaf tersebut menawarkan peluang kepada pelabur untuk mencapai matlamat pelaburan dengan impak dua hala.

 

"EQ8WAQF menampilkan skim berasaskan indeks yang menjana dividen daripada indeks yang direka dengan teliti, menggabungkan strategi berfokuskan pendapatan dengan pendekatan berasaskan momentum.

 

"Produk ini bukanlah produk yang rumit, ia terbuka kepada semua individu tanpa mengira latar belakang agama dan negara yang mempunyai akses kepada Bursa Malaysia. Inilah perbezaan utama ETF wakaf ini berbanding dengan dana wakaf lain di pasaran," ujarnya.

 

ETF wakaf itu merupakan produk kelima dalam rangkaian produk ETF Eq8, menjadikannya penerbit ETF terbesar di Malaysia. - DagangNews.com