Kenanga Research positif terhadap prospek Scientex dipacu segmen perumahan mampu milik | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek Scientex dipacu segmen perumahan mampu milik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Kenanga Research positif terhadap prospek Scientex Berhad dipacu kemajuan dalam pendapatan hartanah lebih baik dengan tumpuan lebih terarah terhadap segmen rumah mampu milik.

 

Katanya, perolehan FY24 berkembang sebanyak 10%, didorong segmen hartanahnya berikutan kemajuan pembinaan yang stabil dan permintaan kukuh untuk pelancaran baharu di Sungai Dua (Pulau Pinang), Jenjarom (Selangor), Pulai dan Senai (Johor).

 

Firma penyelidikan itu berkata, dua pelancaran hartanah baharu Lembah Klang di Jenjarom dan Cheras menyaksikan permintaan kukuh.

 

Pada masa sama, pejabat kedai yang dilancarkan pada April 2024 telah dibuka sepenuhnya manakala dua daripada pelancaran kediamannya di lokasi yang sama yang dilancarkan pada Mei dan Jun tahun ini masing-masing mencecah 95% dan 70% manakala pejabat kedainya di Cheras mencapai kadar pengambilan sebanyak 85%

 

"Sementara itu, hasil pembungkusannya kekal tidak berubah apabila permintaan pembungkusan pengguna yang lebih lemah diimbangi oleh eksport pembungkusan industri yang lebih baik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Scientex raih untung bersih RM545.2 juta, pendapatan RM4.5 bilion pada FY2024

 

"Kami menyemak naik pendapatan FY25 sebanyak 2% bagi  mencerminkan permintaan yang lebih baik untuk hartanah mampu miliknya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research berkata, pemulihan permintaan kumpulan dijangka perlahan dalam bahagian pembungkusan terutamanya dalam pembungkusan pengguna disebabkan oleh kuasa beli yang terhad serta persekitaran harga yang kompetitif.

 

Katanya, kadar penggunaan semasa kekal sekitar 55%, yang serupa dengan FY23.

 

"Bagaimanapun, kapasiti pengeluaran FY24 lebih tinggi sedikit (4%), kadar penggunaan yang tidak berubah menunjukkan peningkatan yang sederhana dalam pesanan FY24," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana daya saingnya dalam industri pembungkusan plastik global, kelebihan skalanya, struktur kos rendah (terutamanya, jika dibandingkan dengan pesaingnya di luar negara), dan kedudukan kukuh dalam segmen perumahan mampu milik, terutamanya di Johor.

 

Mereka percaya penilaian semasanya telah mencerminkan asas kumpulan sepenuhnya, pembetulan harga saham baru-baru ini telah mengimbangi ganjaran risiko untuk saham tersebut.

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'market perform' berbanding 'underperform' dengan harga sasaran RM4.15 sesaham," katanya.- DagangNews.com