Kerajaan mungkin serahkan tanah Duta Enclave yang tidak dibangunkan kepada Semantan Estate, syarat bekerjasama dengan GLC | DagangNews Skip to main content

Kerajaan mungkin serahkan tanah Duta Enclave yang tidak dibangunkan kepada Semantan Estate, syarat bekerjasama dengan GLC

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Okt - Kerajaan sedang dalam proses rayuan terhadap perintah Makhamah Tinggi untuk mengembalikan 106.72 hektar tanah Duta enclave di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemelut itu harus diselesaikan segara demi menjaga hak dan menyelamatkan aset negara.

 

Sambil menekankan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai pemindahan hak milik tanah, Anwar menyatakan, perbincangan juga sedang dilakukan dengan Semantan Estate.

 

"Setiausaha Perbendaharaan telah mengadakan dua sesi perbincangan dengan mereka. Kami mungkin mempertimbangkan untuk membenarkan tanah yang tidak dibangunkan itu diserahkan kepada mereka, dengan syarat mereka mesti bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," kata Anwar kepada Dewan Rakyat pada Selasa semasa sesi soal jawab Perdana Menteri.

 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Perikatan Nasional–Kota Bharu) mengenai pendekatan kerajaan dalam menyelesaikan pertikaian Duta Enclave.

 

Tanah yang dipertikaikan itu, yang dibeli oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 1956 dengan harga RM1.4 juta, kini menempatkan beberapa kemudahan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Tun Razak, Arkib Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.

 

Dalam keputusan yang dikeluarkan pada 23 Oktober 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menyatakan, penting untuk semua pihak mengakui fakta bahawa pengambilalihan asal tanah tersebut dilaksanakan dengan tidak betul oleh kerajaan menurut keputusan Mahkamah Tinggi 2009.

 

Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan.

 

Anwar turut menolak cadangan untuk memberikan pampasan berlebihan bagi menyelesaikan pertikaian tersebut, memberi amaran tentang kemungkinan kesan serius bagi negara.

 

Ini berikutan pendedahan Takiyuddin bahawa pentadbiran sebelum ini telah menawarkan pampasan bernilai RM5 bilion, yang ditolak oleh Semantan Estate.

 

"Kita mesti sedar, jika kerajaan mudah berkompromi dalam kes ini, ia boleh mempengaruhi kes-kes lain selepas ini, terutama berkaitan dengan tanah milik Melayu di kawasan bandar.

 

“Inilah sebabnya Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan pentadbiran sebelum ini. Kami akan berunding secara adil dengan Semantan Estate. Mereka akan menerima pampasan yang jauh lebih tinggi daripada RM1.4 juta," katanya.

 

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan pindaan kepada Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mencegah kes-kes serupa seperti pertikaian Duta Enclave yang berpanjangan dan memastikan pampasan yang adil.

 

"Undang-undang mesti diperkukuhkan dan kepentingan awam tidak boleh dikompromikan,” kata Anwar sambil menambah, rang undang-undang itu sedang disemak oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk dimuktamadkan. - DagangNews.com