KUALA LUMPUR 5 Dis - Kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu dalam masa terdekat, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu berkata tumpuan kerajaan sekarang adalah untuk meningkatkan pematuhan dan menambah baik sistem cukai sedia ada serta melaksanakan langkah cukai yang telah diumumkan dalam Bajet 2025.
“(Sebelum memperkenalkan cukai baharu,) kerajaan akan mempertimbangkan terlebih dahulu keperluan hasil; keadaan ekonomi semasa; struktur keseluruhan, had dan cabaran sistem cukai negara; ruang yang mungkin untuk penambahbaikan; dan yang paling penting, kesan dan kesiapsiagaan rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Dewan Negara.
MOF menjawab soalan Senator Datuk Seri S Vell Paari yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu dalam tempoh terdekat dan, jika ya, apakah langkah yang akan diambil untuk memastikan ia tidak membebankan rakyat. di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.
Kementerian itu berkata antara cukai yang akan dilaksanakan ialah cukai minimum global, berkuat kuasa 1 Januari 2025, ke atas syarikat multinasional dengan hasil tahunan global sekurang-kurangnya 750 juta euro dan cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen bermula dari tahun penilaian 2025.
Turut dilaksanakan ialah e-invois secara berperingkat mulai 1 Ogos 2024, bagi pembayar cukai dengan perolehan melebihi RM100 juta serta sistem duti setem taksiran sendiri (STSDS) secara berperingkat mulai 1 Jan 2026, berdasarkan jenis instrumen atau perjanjian.
Selain itu, semakan cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan akan dibuat mulai 1 Mei 2025 dan semakan duti eksais ke atas minuman manis mulai 1 Jan 2025.
MOF berkata kerajaan akan memastikan langkah cukai yang diumumkan adalah progresif dan mudah ditadbir, tidak memberi kesan negatif kepada kos sara hidup atau pertumbuhan ekonomi, dan boleh menjana hasil mampan kepada kerajaan. - DagangNews.com