Kerjasama dengan Singtel bagi pembinaan pusat data, TM berpotensi jana pendapatan sehingga RM85 juta | DagangNews Skip to main content

Kerjasama dengan Singtel bagi pembinaan pusat data, TM berpotensi jana pendapatan sehingga RM85 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - Kerjasama Telekom Malaysia Bhd dan Singtel bagi pembinaan pusat data berpotensi menyumbang pendapatan antara RM80 juta hingga RM85 juta kepada kumpulan itu pada FY27. 

 

RHB Investment yang mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM8.40 sesaham berkata, sumbangan pendapatan daripada kerjasama pusat data itu diterjemahkan kepada 37 sen kepada penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) kumpulan.

 

"Kami positif terhadap kerjasama TM dengan Singtel untuk membina DC 64MW (Fasa 1) di Johor bagi meraih limpahan permintaan dari negeri itu.

 

"Bersama-sama dengan pengembangan berterusan kemudahan terasnya di Cyberjaya dan Iskandar Puteri (kapasiti beban IT ditetapkan dua kali ganda sehingga 40MW menjelang FY26), kami melihat pendapatan DC dalah optimum," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, CIMB Securities berkata, TM telah memperoleh komitmen tahap tinggi untuk pusat data Iskandar Puteri (IPDC) Blok 2 yang akan datang, manakala pusat data JHB1 AirTrunk telah siap sepenuhnya dengan jumlah 150MW.

 

"Secara keseluruhan, TM percaya bahawa permintaan kukuh akan mengisi kapasiti DC masuk yang besar di Malaysia dari semasa ke semasa. 

 

"Di JHB1 (150MW dalam dua fasa), AirTrunk (pakar DC skala besar Asia Pasifik dan Jepun) berkata ia tidak melakukan pembinaan spekulatif dan telah memperoleh komitmen penuh penyewa sebelum membina Fasa 1, yang sedia untuk perkhidmatan sejak Julai 2024," katanya.

 

CIMB Securities berkata, pembinaan fasa dua kini sedang dijalankan setelah dikontrak sepenuhnya, dengan sasaran siap pada pertengahan atau akhir 2025.

 

"Bina untuk disesuaikan untuk hiperskala, AirTrunk berkata, tempoh kontrak DC biasanya tujuh hingga 20 tahun," katanya.

 

Syarikat itu juga menyebut CBRE, yang mendakwa Malaysia sebagai salah satu pasaran DC peringkat kedua yang paling pesat berkembang di Asia-Pasifik, dengan kapasiti dijangka berkembang 383% berdasarkan anggaran semasa.

 

Kapasiti masuk akan memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada pasaran domestik, tetapi juga penyewa antarabangsa yang menjadikan Malaysia hab Asia-Pasifik mereka.

 

Menurut CBRE, pembangunan DC yang pesat Malaysia telah disokong oleh pendirian proaktif kerajaan dalam menggalakkan pelaburan sejak 2021, infrastruktur telekomunikasinya yang maju dan kos pembinaan yang murah.- DagangNews.com