Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ‘national fund-of-funds’ untuk pacu pertumbuhan ekosistem modal teroka Malaysia | DagangNews Skip to main content

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ‘national fund-of-funds’ untuk pacu pertumbuhan ekosistem modal teroka Malaysia

‘National fund-of-funds’ akan memperkasakan dan mengembangkan ekosistem modal teroka Malaysia selari dengan usaha Khazanah melalui Dana Impak
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Okt - Khazanah Nasional Berhad melancarkan ‘national fund-of funds’, yang dinamakan sebagai Jelawang Capital Sdn Bhd, berikutan penggabungan Malaysia Venture Capital Management dan Penjana Kapital pada bulan Julai dan seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan MADANI 2025 yang ketiga oleh Perdana Menteri.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Jelawang Capital melambangkan usaha Khazanah dalam membangunkan ekosistem modal teroka (VC) Malaysia.

 

Melalui inisiatif pemangkin ini kata beliau, Jelawang Capital akan meneruskan usaha membangunkan pengurus-pengurus dana Malaysia di samping menarik penglibatan pengurus dana serantau yang mempunyai kepakaran dan modal.

 

“Industri modal teroka ialah sumber yang penting untuk inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan untuk negara," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

 

Walau bagaimanapun, sebuah kajian dari Startup Genome melaporkan hanya 1.5% modal teroka di hab modal teroka terbaik di Amerika Syarikat menikmati pulangan kewangan yang bermakna selepas pelaburan, iaitu kejayaan melepaskan pegangan pelaburan melebihi AS$50 juta atau lebih. Ini menggambarkan risiko yang tinggi dan cabaran-cabaran berkaitan kelas aset ini.

 

Oleh itu, usaha bersama daripada semua pihak diperlukan untuk meningkatkan tahap kejayaan. Walaupun modal merupakan asas utama untuk membina ekosistem modal teroka yang bertenaga, faktor-faktor kejayaan penting yang lain termasuk kemudahan menjalankan perniagaan, ketersediaan tenaga kerja dan pengukuhan teknologi dan kepakaran.

 

Disebabkan inovasi tidak berbatas, kombinasi modal, pengawalan yang berkesan, tenaga kerja dan teknologi akan menentukan masa depan Malaysia.

 

Jelawang Capital akan diketuai oleh Bryan Lim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau juga merupakan Ketua Dana Impak di Khazanah.

 

Bryan Lim berkata, Jelawang Capital dinamakan sempena air terjun tertinggi di Malaysia.

 

"Visi kami untuk ekosistem VC tempatan bermula dengan penyediaan modal kepada pengurus dana. Kami membayangkan modal ini dan kepakaran pengurus akan mengalir kepada syarikat permulaan berpotensi tinggi.

 

"Seperti air terjun yang mengalir ke dalam sungai yang menyuburkan flora dan fauna tempatan, kami berharap pelaburan berpotensi tinggi ini akan memperkayakan “hutan hujan” (ekosistem) VC yang lebih luas dengan inovasi dan pekerjaan berkualiti.

 

"Seperti mana-mana hutan yang sihat, kejayaan tidak hanya bergantung kepada ketersediaan air (modal), tetapi juga pada banyaknya cahaya matahari dan nutrien. Dalam memperkukuh ekosistem ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi dan pelabur yang sehaluan," kata beliau.

 

Untuk memacu perkembangan ekosistem modal teroka Malaysia, Jelawang Capital akan menerajui dua inisiatif:

Emerging Fund Managers’ Program (EMP):

• Matlamat EMP adalah untuk memupuk pengurus-pengurus dana Malaysia yang berpotensi untuk mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga. Terbuka kepada pengurus-pengurus dana yang berpusat di Malaysia atau luar negara, EMP akan menyokong pengurus dana Malaysia untuk membina rekod prestasi dan meningkatkan daya saing mereka di dalam ekosistem modal teroka.

 

Jelawang Capital akan menjadi penaung untuk pengurus dana Malaysia untuk menarik minat dan pelaburan lain dari pelabur-pelabur Malaysia dan antarabangsa. Selain sokongan modal, EMP mempunyai aspirasi untuk menyokong penguruspengurus dana dalam bidang-bidang penting seperti pengurusan dana, operasi pelaburan dan pengurusan bakat.

 

Dengan ini, EMP diharap akan menginstitusikan serta meningkatkan keupayaan pengurus-pengurus dana secara beransur. Pemohon yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut tentang kriteria kelayakan dan memuat turun borang permohonan di www.jelawangcapital.com.

 

EMP dibuka untuk cadangan sehingga 31 Disember 2024 dan permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke emp@jelawangcapital.com. Peluang seterusnya untuk menyertai EMP akan tersedia pada separuh kedua tahun 2025.

 

Regional Managers' Initiative (RMI):

• RMI bermatlamat untuk mengukuhkan ekosistem permulaan Malaysia melalui kerjasama strategik dengan firma VC serantau. RMI mewakili usaha Jelawang Capital untuk menarik pengurus dana antarabangsa yang berkomitmen untuk memperkaya ekosistem.

 

Ini termasuk menyokong pertumbuhan syarikat permulaan Malaysia menjadi pemain serantau dan global, serta memudahkan perpindahan syarikat global ke Malaysia untuk memperluas kemampuan pekerjaan tempatan, menarik bakat dan mendalami inovasi.

 

Di samping itu, Jelawang Capital mengalu-alukan penjana teroka yang berwibawa untuk melahirkan usahawan baru dan menyokong pertumbuhan usahawan yang sedia ada di Malaysia.

 

Pengurus serantau yang selaras dengan objektif strategik ini dijemput untuk mengemukakan cadangan mereka ke rmi@jelawangcapital.com.

 

EMP dan RMI akan membolehkan gabungan kepakaran, perspektif, dan ilmu tempatan dan antarabangsa untuk merangsang ekosistem untuk menyokong usaha membangunkan Malaysia.

 

Sebagai national fund-of-funds, Jelawang Capital adalah sebahagian daripada Dana Impak. Dana Impak adalah salah satu tonggak utama strategi Memajukan Malaysia yang berteraskan rangka kerja ‘A Nation that Creates’ yang bermatlamat untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

 

Matlamat inisiatif Dana Impak adalah untuk memberdayakan perniagaan Malaysia dari pelbagai saiz dan pelbagai peringkat kitaran, termasuk syarikat permulaan, syarikat kecil hingga sederhana serta syarikat besar, dengan objektif meningkatkan taraf hidup masyarakat. - DagangNews.com