KUALA LUMPUR 23 Okt - Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia pada Selasa melancarkan Laporan Agenda Strategik Persaraan, sebuah bahan rujukan komprehensif untuk memastikan kesiapsiagaan persaraan mampan bagi penjawat awam, pesara dan penerima faedah terbitan.
Kajian itu diterajui oleh KWAP selepas pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) antara KWAP dan MyAgeing ditandatangani pada April 2023 untuk menggalakkan penyelidikan dan pertukaran pengetahuan mengenai isu-isu berkaitan pesara.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selaku rakan strategik KWAP, memberikan sokongan padu terhadap inisiatif tersebut dan memainkan peranan penting sebagai pihak pendukung sepanjang kajian dijalankan.
Kajian yang melibatkan seramai 6,252 penjawat awam dan 1,075 pesara serta penerima faedah pencen terbitan itu menekankan kepentingan langkah proaktif untuk persediaan persaraan serta usaha menangani cabaran ke arah persaraan yang lebih bermakna.
Laporan Agenda Strategik Persaraan berkenaan memberi fokus kepada kesiapsiagaan Malaysia menuju ke arah negara menua pada tahun 2035 serta menambahbaik strategi sistem persaraan sedia ada.
Antara topik lain yang dibentangkan dalam laporan itu adalah pendekatan holistik yang memberi tumpuan kepada keperluan pesara pada masa hadapan dan cara menangani jurang semasa dalam perkhidmatan untuk pesara.
Penemuan utama kaji selidik tersebut digunakan untuk membangunkan Rangka Kerja Agenda Strategik Kerjaya-Persaraan (CReSA), yang merangkumi empat objektif, 12 strategi dan 78 inisiatif.
Selain itu, ia juga berperanan untuk meningkatkan pengalaman persaraan bagi pesara dalam empat tonggak utama iaitu kesihatan, keselamatan dan perlindungan, penyertaan sosial dan rangkaian serta pembelajaran sepanjang hayat.
Rangka kerja CReSA tersebut melibatkan pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.
Oleh itu, beberapa faktor kejayaan yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan agenda terbabit adalah seperti sokongan daripada kepimpinan dan pengurusan atasan, penglibatan pihak berkepentingan dalam proses pembentukan dan perancangan insiatif, kerjasama untuk membangunkan inisiatif sedia ada, kemahuan politik serta pemantauan dan penilaian.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP, Zarina Halim berkata, Malaysia akan bergelar negara menua dalam tempoh lima hingga enam tahun yang akan datang.
"Sebagai dana pencen sektor awam terbesar di Malaysia, KWAP komited untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pesara terpelihara di samping memanfaatkan potensi golongan warga emas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara selari dengan fokus GEAR-uP.
"Melalui laporan ini, KWAP ingin mendidik pesara dan bakal pesara tentang faedah simpanan persaraan yang konsisten dan cara menguruskan perbelanjaan dan hutang semasa tempoh persaraan," katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim berkata, selari dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan yang merangkumi aspek sosial, JPA berperanan sebagai tonggak negara dalam memastikan kebajikan pesara sektor awam terperlihara.
"JPA akan berusaha memperkukuhkan pelaksanaan dasar-dasar sedia ada, sambil menambah baik perkhidmatan kami agar lebih responsif kepada keperluan warga emas dan masyarakat," jelasnya.
Penghasilan laporan itu adalah berdasarkan penemuan daripada lima aktiviti utama yang merangkumi kajian menyeluruh, tinjauan, perbincangan kumpulan fokus, penggubalan rangka kerja baharu serta bengkel untuk pihak berkepentingan.
Laporan tersebut dilancarkan bersempena Persidangan Kebangsaan Penuaan 2024 (NCA2024), yang berlangsung pada Rabu dan Khamis. - DagangNews.com