Lagenda Properties berpotensi atasi sasaran jualan RM1.2 bilion pada FY24 - UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Lagenda Properties berpotensi atasi sasaran jualan RM1.2 bilion pada FY24 - UOB Kay Hian

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Okt - UOB Kay Hian (UOBKH) Research menjangkakan Lagenda Properties Bhd berpotensi mengatasi asaran jualan sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan 2025 menyaksikan jualan yang lebih kukuh, didorong momentum pelancaran 2024 sebanyak 2.6 kali ganda saiz pelancaran tahun sebelumnya.

 

Mereka menjangkakan projek-projek tersebut akan menyumbang kepada pendapatan tahun 2026. 

 

UOB Kay Hian juga mengunjurkan pertumbuhan pendapatan dan pendapatan Lagenda mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun masing-masing sebanyak 27% dan 28%.

 

"Ini akan didorong oleh pertumbuhan jualan tahunan yang konsisten, yang dijangka mencecah antara RM1.6 bilion dan RM2 bilion pada 2026," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata Lagenda bersedia untuk pertumbuhan dengan pelancaran rumah bertanah satu tingkat di Kulai, Johor dengan syarikat itu merancang untuk menjual berharga antara RM260,000 dan RM280,000.

 

"Jumlah bank tanah Lagenda di Kulai merangkumi kira-kira 1,000 ekar, yang jauh lebih besar daripada bank tanah 400 hektar Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) dan kedua selepas IOI Properties Group Bhd, dengan sekitar 3,418 hektar," katanya. 

 

Momentum di Kulai telah berkembang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya dengan kemasukan pertanyaan untuk pusat data.

 

Sebagai contoh, EcoWorld Malaysia baru-baru ini telah menjual tanah kepada Microsoft Corp pada harga RM75 setiap kaki persegi dan kepada Princeton Digital Group pada harga RM90 setiap kaki persegi.

 

"Lagenda juga telah menerima minat mengenai penjualan tanah untuk membina pusat data dan Kumpulan itu terbuka untuk menjual tanahnya jika harganya sesuai," katanya.

 

Selain itu, UOB Kay Hian berkata, Lagenda berpeluang untuk memanfaat Bajet 2025, khususnya Skim Deposit Madani serta pelarasan gaji kakitangan awam.

 

Skim Deposit Madani menyasar untuk menyediakan sehingga RM30,000 dalam bentuk bantuan deposit kepada pembeli rumah kali pertama dalam kumpulan Bawah-40 (B40) dan Bawah-40 Tengah (M40), yang dijangka dapat mengurangkan cabaran kemampuan dengan mengurangkan kos pendahuluan.

 

"Lagenda berpeluang untuk mendapat keuntungan daripada ini, kerana pasaran sasarannya kebanyakannya terdiri daripada isi rumah B40 dan M40 rendah," katanya. - DagangNews.com