Kontrak pembekalan bot kerja penginapan, Phillip Capital unjur Dayang terima manfaat kadar sewa harian tinggi | DagangNews Skip to main content

Kontrak pembekalan bot kerja penginapan, Phillip Capital unjur Dayang terima manfaat kadar sewa harian tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Phillip Capital positif terhadap prospek Dayang Enterprise Holdings Bhd selepas kejayaan memenangi kontrak pembekalan enam bot kerja penginapan kepada Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Katanya, kumpulan itu akan menerima manfaat daripada kadar sewa harian yang tinggi kesan daripada bekalan kapal yang ketat di dalam pasaran.

 

Nilai kontrak untuk enam bot kerja penginapan yang ditempah itu bagaimanapun tidak didedahkan dalam makluman kepada Bursa Malaysia tetapi firma penyelidikan itu menganggarkan pendapatan sehingga RM85 juta.

 

"Kekurangan bekalan kapal luar pesisir, terutamanya bot kerja penginapan, telah mengekalkan kadar sewa yang tinggi untuk industri, di tengah-tengah permintaan global yang kukuh untuk kapal tersebut daripada syarikat minyak utama yang meningkatkan aktiviti luar pesisir," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerima kontak penyediaan enam unit bot kerja penginapan dengan kontrak bermula pada tarikh sijil sewa kapal dan tempoh kontrak seperti yang digariskan.

 

Kapal yang terlibat termasuk Dayang Pertama, Berlian, Zamrud, Opal, Perdana Liberty, dan Sovereign dengan tempoh sewaan berbeza antara 61 hari hingga 153 hari.

 

Phillip Capital berkata, kontrak sewaan itu merangkumi kapal dengan kapasiti 169, 189 dan 197 orang.

 

"Berdasarkan semakan saluran kami, kadar sewa harian semasa untuk bot erja penginapan dengan kapasiti itu berjulat antara RM120,000 hingga RM130,000 sehari," katanya.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap ramalan pendapatan kerana menganggap kontrak itu berada dalam andaian.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM4.50 sesaham," katanya. - DagangNews.com