Malaysia Airlines perluas rangkaian ke India dengan pengembalian penerbangan langsung Kuala Lumpur-Kolkata bermula 2 Disember 2024 | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines perluas rangkaian ke India dengan pengembalian penerbangan langsung Kuala Lumpur-Kolkata bermula 2 Disember 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

SEPANG 8 Okt – Malaysia Airlines mengumumkan pengembalian penerbangan langsung antara Kuala Lumpur (KUL) dan Kolkata (CCU), bermula 2 Disember 2024, sebagai langkah lanjut untuk memperluas kehadirannya di India dan meningkatkan pilihan perjalanan tanpa gangguan untuk penumpang. 

 

Dengan ini, syarikat penerbangan tersebut akan menawarkan sambungan langsung ke India ke 10 destinasi, termasuk New Delhi, Bengaluru, Mumbai, Chennai, Hyderabad, Kochi, Amritsar, Trivandrum dan Ahmedabad.

 

Malaysia Airlines akan mengendalikan lima penerbangan mingguan untuk laluan tersebut menggunakan pesawat Boeing 737-800. 

 

Langkah strategik berkenaan mengikuti kejayaan permulaan operasi harian di Amritsar bulan lalu, yang mencerminkan komitmen Malaysia Airlines untuk mengukuhkan kehadirannya di satu daripada pasaran antarabangsa terkemukanya.

 

Dengan pengembalian penerbangan itu dan peningkatan frekuensi penerbangan dari Amritsar, syarikat penerbangan tersebut kini menawarkan sebanyak 76 penerbangan mingguan antara India dan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pihaknya gembira untuk memulakan semula penerbangan langsung ke Kolkata, menandakan langkah penting dalam usaha syarikat untuk menawarkan sambungan yang lebih baik bagi para pelancong antara Malaysia dan India. 

 

"India adalah pasaran utama bagi kami dan dengan terus meningkatkan rangkaian kami dan menambah frekuensi penerbangan, kami boleh memberikan pengalaman perjalanan yang luar biasa, disokong oleh hospitaliti terkenal Malaysia Airlines. 

 

"Kami mengajak penumpang untuk meneroka pelbagai budaya, sambil berpeluang menghubungkan pelanggan secara lancar ke pusat global yang popular melalui pangkalan kami di Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Ahmad Luqman, pelaburan berterusan di pasaran India menguatkan komitmen MAG dan memastikannya tetap menjadi pilihan syarikat penerbangan bagi pelancongan, percutian dan perniagaan.

 

Malaysia Airlines menawarkan tambang pengenalan istimewa bermula dari RM1,499 untuk perjalanan pulang melalui kelas ekonomi yang tersedia dari 8 Oktober 2024 hingga 8 November 2024, untuk perjalanan mulai 2 Disember 2024 melalui kempen Time for Kolkata. - DagangNews.com