KUALA LUMPUR 2 Jan - Etiqa Life Insurance Bhd (ELIB) melantik Leong Su Yern sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa 1 Jan 2025.
Dalam peranan baharunya, Leong akan melaporkan terus kepada Kamaludin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Etiqa Insurance dan Takaful, yang telah berperanan sebagai CEO interim ELIB sejak persaraan Paul Low pada Disember 2023.
Leong menyertai Etiqa pada 2013 sebagai ketua penentuan harga untuk produk hayat dan keluarga, di mana beliau memastikan pematuhan peraturan dan membangunkan strategi penetapan harga untuk kedua-dua ELIB dan Etiqa Family Takaful Bhd (EFTB).
Pada 2022, beliau merupakan ketua pegawai produk di Maybank Ageas Holding Bhd sebelum beralih ke ELIB pada 2023, di mana beliau mengambil alih peranan sebagai pengurus besar, menyelia saluran jualan.
Leong mempunyai lebih 23 tahun pengalaman dalam industri insurans dan merupakan Felo Persatuan Aktuari (SOA) yang berdedikasi. Dengan lebih daripada 18 tahun dalam peranan kepimpinan, beliau secara konsisten memacu pertumbuhan strategik dan kecemerlangan operasi.
“Kami berbesar hati mengalu-alukan Su Yern ke dalam peranan baharunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ELIB," kata Kamaludin dalam kenyataan di sini.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ELIB, beliau akan memacu pertumbuhan strategik, kewangan dan operasi untuk memaksimumkan nilai pemegang saham sambil mengutamakan kepentingan pelanggan.
Di samping itu, beliau akan menyelia strategi pertumbuhan yang mampan, memastikan pematuhan kawal selia, dan menguruskan risiko. - DagangNews.com