Lucky Air perkenal laluan baharu antara Dali-Kuala Lumpur, kukuhkan hubungan pelancongan Malaysia dan China | DagangNews Skip to main content

Lucky Air perkenal laluan baharu antara Dali-Kuala Lumpur, kukuhkan hubungan pelancongan Malaysia dan China

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jan - Tourism Malaysia mengumumkan pelancaran penerbangan sulung Lucky Air yang menghubungkan Dali, sebuah bandar bersejarah di wilayah Yunnan, China, dengan Kuala Lumpur.

 

Laluan baharu itu akan beroperasi dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Jumaat, menggunakan pesawat Boeing 737 dengan kapasiti 189 tempat duduk. 

 

Ia adalah laluan kedua yang dilancarkan oleh Lucky Air, selepas penerbangan sewa khas dari Lijiang, juga di wilayah Yunnan ke Kuala Lumpur pada September 2024.

 

lucky air

 

Penerbangan dari Dali-Kuala Lumpur disambut oleh Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Africa), Nuwal Fadhilah Ku Azmi, yang mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, bersama wakil-wakil dari Malaysia Airports Holdings Berhad dan Post Aviation, rakan pengendali darat bagi Lucky Air.

 

Lawatan terkini oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Tiong King Sing, ke Ibu Pejabat Lucky Air semasa misi jualan ke China pada Disember 2024, mengukuhkan sokongan kuat terhadap peluasan laluan syarikat penerbangan itu ke Malaysia.

 

Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan hubungan penerbangan dari pelbagai bandar di wilayah Yunnan, termasuk Kunming, ke Malaysia. 

 

Laluan baharu berkenaan menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelancong China, terutamanya dari selatan negara itu, sekali gus menyerlahkan pengaruh pelancongan Malaysia yang semakin berkembang.

 

Dari Januari hingga November 2024, Malaysia menerima sejumlah 3.04 juta pelancong dari China, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 132.7%. 

 

Lanjutan dasar bebas visa untuk warganegara China sehingga Disember 2026, dijangka terus meningkatkan angka itu dan memperkukuhkan pertukaran budaya antara kedua-dua negara. - DagangNews.com