KUALA LUMPUR 21 Jan - Mah Sing Group Bhd mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 1.13 hektar di Sentul pada harga RM32 juta bagi membangunkan projek apartmen servis.
Pemaju hartanah itu berkata, projek apartmen servis bernama M Aria itu, dijangka menjana anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM283 juta.
Berikutan kejayaan M Centura dan M Arisa, projek baharu ini menandakan pembangunan ketiga kumpulan di Sentul.
“Pembangunan itu disasarkan kepada pelbagai pembeli, termasuk pemilik rumah kali pertama, orang dewasa yang bekerja, keluarga dan pelabur.
"Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, M Aria menawarkan pilihan untuk susun atur tiga hingga empat bilik tidur, dengan saiz indikatif kira-kira 800 kaki persegi dan 950 kaki persegi dan harga indikatif bermula daripada RM498,000.
“Pendaftaran minat untuk membeli unit di M Aria akan bermula pada separuh kedua 2025.
"Pembangunan itu akan menampilkan konsep gaya hidup istimewa Mah Sing dengan tumpuan tambahan pada kemudahan dan kemasan yang direka dengan baik, disesuaikan untuk keluarga dan pembeli rumah yang mencari ruang kediaman moden," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kedudukan strategik Sentul memberi peluang kepada kumpulan membangunkan apartmen servis yang holistik dan menumpukan kepada komuniti sekitarnya.
"Setiap projek yang kami bangunkan direka bentuk dengan teliti untuk memenuhi keperluan gaya hidup bandar moden, sambil menyepadukan elemen yang mampan dan inovatif.
"Kejayaan M Centura dan M Arisa menyerlahkan keupayaan kami untuk mentakrifkan semula landskap kediaman Sentul dengan rumah yang boleh diakses, direka bentuk dengan baik dan sangat menarik kepada pembeli rumah bandar.
“Dengan M Aria, kami berhasrat untuk meneruskan legasi ini dengan membina asas kukuh yang diletakkan oleh M Centura dan M Arisa,” kata beliau.- DagangNews.com