KUALA LUMPUR 9 Jan - Rakuten Trade meramalkan Mah Sing Group Bhd mencatatkan untung bersih RM286.2 juta pada FY25 disokong jualan yang belum dibilkan sebanyak RM2.76 bilion (sehingga September 2024) serta pengiktirafan hasil lebih tinggi daripada penyiapan projek yang sedang dijalankan.
Katanya, kumpulan itu melancarkan empat projek pada 2024 dengan kesemuanya berada di Kawasan Lembah Klang.
Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan kediaman bertingkat tinggi ini termasuk M-Zenya di Kepong dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM607 juta, M Azura di Setapak (GDV: RM613 juta), M Vertica di Cheras (GDV: RM150 juta) dan M Aspira yang terletak di Taman Desa (GDV: RM1 bilion).
"Projek-projek ini dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan kerana berdekatan dengan Pusat Bandar Kuala Lumpur," katanya dalam satu nota kajian.
Rakuten Trade berkata, kumpulan itu turut mengambil langkah penting dengan memperoleh 28.3 hektar tanah di Kawasan Lembah Klang dan Johor bagi membuka jalan untuk pelaksanaan projek termasuk M Aspira di Taman Desa; M Aurora di Jalan Klang Lama; MSS Business Park di Sepang; M Tiara 2; M Tiara 3 dan M Grand Minori.
Katanya, inisiatif itu dijangka menghasilkan GDV kira-kira RM5.8 bilion, dengan kos pengambilan tanah antara 7% hingga 17% daripada GDV.
Pada masa sama katanya, kumpulan itu menjalinkan kerjasama penting dengan Bridge Data Centres (BDC) bagi memacu pembangunan kemudahan pusat data terkini.
"Hab Mah Sing DC@Southville City, Bangi pada masa ini mempunyai kapasiti kuasa terjamin 300MW, dengan tambahan 200MW diperuntukkan untuk kerjasama masa depan, mengukuhkan peranannya sebagai hab pusat data serantau utama," katanya.
Mah Sing juga mempunyai 16.9 hektar tanah di perbandaran Meridin East di Johor Bahru, yang mampu menyokong kapasiti kuasa masa hadapan 300 MW, menawarkan peluang besar untuk pertumbuhan dan penciptaan nilai selanjutnya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, BDC akan menyediakan deposit yang boleh dilucuthakkan sementara kedua-dua syarikat berusaha ke arah memuktamadkan perjanjian kerjasama.
Ini termasuk membentuk syarikat usaha sama, menentukan nisbah saham, dan melaksanakan Perjanjian Jual Beli (SPA) untuk tanah tersebut.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.43 sesaham," katanya. - DagangNews.com