KUALA LUMPUR 6 Jan - Maxis memperkenalkan rumusan Mobile Identity yang membolehkan pengesahan lancar dan selamat pada platform digital bagi pengguna peranti mudah alih.
Rumusan itu akan memanfaatkan suite antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) pengesahan telekomunikasi yang canggih, bermula dengan API Pengesahan Nombor.
API Pengesahan Nombor mengesahkan peranti mudah alih dengan memeriksa sama ada nombor telefon yang diberikan sepadan dengan nombor yang digunakan pada peranti tersebut, berdasarkan data telekomunikasi masa nyata.
Ia memudahkan pengguna semasa proses seperti pendaftaran aplikasi, tetapan semula kata laluan atau log masuk, dengan menggantikan penggunaan kata laluan sekali guna (OTP) atau kod pengesahan transaksi (TAC) yang biasanya dihantar melalui SMS.
Rumusan itu membolehkan nombor telefon mudah alih disahkan dengan selamat tanpa meninggalkan aplikasi atau platform yang digunakan.
Selain itu, ia juga meningkatkan keselamatan dengan mengurangkan risiko penipuan yang biasanya berlaku melalui pengesahan SMS.
Ia amat sesuai untuk pelanggan bank atau platform e-dagang kerana mengurangkan risiko penipuan semasa pengesahan transaksi.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak pihak seperti institusi kewangan, platform e-dagang dan pembangun aplikasi agar rumusan sedemikian dapat diperluaskan bagi menjamin keselamatan pengguna.
"Kami teruja untuk meneroka pelbagai kemungkinan yang boleh diwujudkan dengan menggunakan API telekomunikasi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan. Dengan rumusan ini, kami bukan sahaja memudahkan proses untuk pengguna, tetapi juga melindungi mereka daripada penipuan.
"Kami percaya, penggunaan lebih banyak rumusan berasaskan API seperti ini akan membuka peluang yang lebih besar untuk perniagaan dan industri untuk menyampaikan interaksi digital yang lebih lancar dan selamat dari hujung ke hujung" katanya dalam satu kenyataan.
Mobile Identity Maxis diperkenalkan di Smart Nation Expo 2024 pada 19 hingga 21 November 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Ia dibina bagi memastikan fungsi lancar antara pengendali rangkaian yang berbeza dan untuk bekerja bersama dalam rangkaian yang lebih besar.
Maxis dan Singtel bekerjasama dalam satu perkongsian teknologi serantau bagi API telekomunikasi, membolehkan pengesahan berasaskan rangkaian untuk pelanggan mudah alih.
Kerjasama tersebut berasaskan inisiatif Bridge Alliance API Exchange (BAEx) yang menerima sokongan daripada 13 syarikat telekomunikasi terkemuka di Asia termasuk Maxis.
Rumusan berkenaan berfungsi mengikut rangka kerja Gerbang Terbuka GSMA (CAMARA), satu inisiatif diiktiraf di peringkat global yang direka untuk menyediakan akses universal dan memastikan penyebaran pantas dan penyepaduan merentas negara dan rangkaian mudah alih yang berbeza, membolehkan lebih banyak penyedia perkhidmatan dan pengguna akhir mendapat manfaat daripada penyelesaian tersebut.
Selain itu, kemampuan berfungsi API mengikut rangka kerja dan piawaian CAMARA, memudahkan penyepaduan untuk pembangun, membolehkan penciptaan aplikasi mudah alih yang lebih dipercayai, cekap dan selamat. - DagangNews.com