McGraw Hill dan UiTM perkukuh kerjasama, luaskan penggunaan bahan pembelajaran digital kepada 35,000 pelajar | DagangNews Skip to main content

McGraw Hill dan UiTM perkukuh kerjasama, luaskan penggunaan bahan pembelajaran digital kepada 35,000 pelajar

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Jan - McGraw Hill memperluaskan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk meningkatkan penggunaan bahan pembelajaran digital yang disediakan oleh McGraw Hill kepada lebih 35,000 pelajar institusi pendidikan tinggi terbesar di Malaysia tersebut.

 

Perjanjian baharu itu menyaksikan lanjutan kerjasama yang telah terjalin dengan institusi berkenaan, yang telah menggunakan rumusan digital McGraw Hill yang digabungkan dengan kandungan asal untuk pelajar UiTM dalam pelbagai disiplin perniagaan.

 

Kerjasama tersebut akan menyaksikan McGraw Hill dan UiTM bekerjasama untuk menyampaikan kandungan yang disesuaikan dengan keperluan khusus institusi, yang akan dihoskan di platform pembelajaran digital McGraw Hill, termasuk Connect.

 

UiTM adalah universiti menyeluruh terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan berdaya cipta dengan kemudahan dan teknologi terkini di 34 kampus, empat kolej pengajian, 14 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara.

 

Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Profesor Firdaus Abdullah berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan McGraw Hill, pemimpin global dalam kandungan pendidikan dan teknologi.

 

"Kerjasama ini memberi akses sumber dan alat terkini kepada pelajar dan fakulti kami, memperkayakan pengalaman pembelajaran dan menyokong misi institusi untuk kecemerlangan akademik. 

 

"Kami yakin hubungan yang diperluaskan ini akan membuka peluang baharu untuk pelajar kami dan menyumbang kepada pencapaian mereka di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Presiden Kanan, McGraw Hill International, Neil Harris pula berkata, UiTM adalah institusi yang dihormati di dalam dan luar negara dalam landskap pendidikan tinggi dan pihaknya teruja untuk melihat hubungan kedua-dua pihak terus berkembang melalui perjanjian baharu itu.

 

"Penciptaan kandungan baharu yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan mereka akan memperkukuh penglibatan pelajar. 

 

"Digabungkan dengan platform pembelajaran McGraw Hill, ia akan meningkatkan keputusan pelajar," ujarnya. - DagangNews.com