KUALA LUMPUR 26 Nov - Meta Bright Group Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.3 juta pada 1QFY25 yang melebihi 36% daripada jumlah unjuran prestasi kewangan FY24.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, hasilnya meningkat sebanyak 463%, atau RM48.26 juta kepada RM58.69 juta pada suku itu.
"Pertumbuhan ini membuktikan kejayaan kumpulan dalam menjalankan inisiatif strategik sepanjang dua tahun yang lepas.
"Ini termasuk kepelbagaian perniagaan, penggabungan dan pemerolehan (M&A) yang meluaskan jejak operasi kumpulan dan mengukuhkan asas pendapatan," katanya.
Kumpulan itu berkata, portfolio perniagaannya yang pelbagai menunjukkan prestasi yang teguh merentasi pelbagai segmen.
"Segmen bahan binaan menyumbang hasil sebanyak RM47.93 juta, mencerminkan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan di Malaysia Timur.
"Walaupun segmen pembangunan hartanah merekodkan hasil RM130,000 dan ketiadaan keuntungan pelupusan tahun sebelumnya, kami tetap fokus untuk mengenal pasti peluang baharu untuk menggiatkan semula segmen ini.
"Segmen berkaitan tenaga dan bahagian hartanah pelaburan juga mencatat pertumbuhan yang stabil, masing-masing menyumbang RM450,000 dan RM1.04 juta pada suku itu," katanya.
Di samping itu, bahagian pajakan dan pembiayaan mencatat hasil RM2.49 juta dipacu oleh hasil sewa yang lebih tinggi daripada operasi Australia.
Selain itu, segmen hospitaliti, khususnya, Hotel Renai di Kelantan menjana RM6.66 juta disokong oleh peningkatan permintaan pusat konvensyennya.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik, Derek Phang Kiew Lim berkata, portfolio kumpulan yang pelbagai mampu membina model perniagaan berdaya tahan dan mampu memberikan pertumbuhan yang mampan.
Sementara itu, Meta Bright merancang untuk meningkatkan daya saing segmen hospitalitinya dengan menaikkan taraf kemudahan Hotel Renai bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.- DagangNews.com