Momentum pemulihan sektor sarung tangan dijangka kukuh disokong oleh permintaan teguh - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Momentum pemulihan sektor sarung tangan dijangka kukuh disokong oleh permintaan teguh - Kenanga

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Sektor sarung tangan bersedia mengekalkan momentum pemulihan pendapatannya, disokong oleh permintaan global yang teguh, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata,sektor sarung tangan akan terus berpulih didorong oleh pendapatan berterusan, jumlah jualan yang lebih tinggi, peningkatan dinamik bekalan-permintaan dan potensi peningkatan dalam harga jualan purata (ASP).

 

Katanya, sektor tersebut akan kembali berpulih menjelang 2025, disokong oleh pembinaan semula inventori daripada pengedar dan penyatuan industri yang lebih pantas daripada jangkaan.

 

"Terdapat peningkatan dalam tempahan sejak tiga suku lepas.

 

"Permintaan sarung tangan meningkat didorong oleh inventori pengedar utama di semua wilayah telah kembali ke paras normal," kata Kenanga dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Pemain sarung tangan menjangkakan peningkatan ASP secara beransur-ansur dan berpotensi menjana sebanyak AS$1 setiap 1,000 keping kepada antara AS$20 dan AS$22 setiap 1,000 keping dipacu oleh peningkatan permintaan dan pengurangan terhadap nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Tambahan pula, dengan penguatkuasaan tarif AS sehingga 50% dan 100% masing-masing pada 2025 dan 2026, bakal memanfaatkan pembuat sarung tangan Malaysia.

 

Kenanga berkata, kenaikan tarif sebanyak 50% dijangka meningkatkan ASP pengeluar sarung tangan China kepada AS$25 setiap 1,000 keping daripada AS$19 setiap 1,000 keping.

 

"Ini berbanding dengan ASP pemain Malaysia pada masa ini pada AS$18 sehingga AS$21 setiap 1,000 keping.

 

“Kami menjangkakan pembuat sarung tangan Malaysia mendapat manfaat daripada kenaikan tarif import AS daripada 7.5% kepada 50% ke atas import sarung tangan China pada 2025," katanya. 

 

Selain daripada kenaikan tarif, firma itu menjelaskan pembeli Amerika mungkin tidak mendapatkan kebanyakan bekalan mereka dari China memandangkan ketegangan geopolitik.

 

Katanya, sesetengah pembeli telah mula mengalihkan pembelian mereka ke Malaysia sebagai strategi pengurusan risiko.

 

Sementara itu, Kenanga mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor sarung tangan dengan Hartalega Holdings Bhd dan Kossan Rubber Industries Bhd sebagai pilihan utama memandangkan jualan besar di pasaran AS. - DagangNews.com