Moovby for University diperkenalkan di MMU, bantu pergerakan mahasiswa di sekitar kampus | DagangNews Skip to main content

Moovby for University diperkenalkan di MMU, bantu pergerakan mahasiswa di sekitar kampus

Oleh Shamsiah Zulkafli

CYBERJAYA 29 Okt - Platform perkongsian kereta antara rakan setara (P2P) terkemuka di Malaysia Moovby, memperkenalkan Moovby for University melalui kerjasama dengan Universiti Multimedia (MMU) bagi membantu pergerakan mahasiswa menerusi platform yang selamat dan terjamin untuk menyewa kenderaan di dalam dan sekitar kampus. 

 

Moovby for University menyediakan rumusan pergerakan yang lebih mudah dan berpatutan bagi pelajar, selain memberi mereka peluang untuk menjana pendapatan sampingan dengan menyewakan kenderaan peribadi mereka ketika tidak digunakan. 

 

Dengan memperluas akses kepada kenderaan dalam komuniti pelajar, Moovby membantu mengatasi cabaran mobiliti di kampus dan mempromosikan budaya perkongsian kereta yang lebih lestari. 

 

Program itu memperkenalkan kenderaan yang dilengkapi ciri khas dengan Moovbip, sistem pengesanan dan sistem tanpa kunci yang canggih, selain maklumat masa nyata tentang lokasi kenderaan, penggunaan bahan api dan tahap kesihatan bateri serta memastikan keselamatan dan prestasi yang dipertingkatkan. 

 

Ianya juga mampu mengumpul data telematik, corak pemanduan, keadaan kenderaan serta membantu mengoptimumkan penyelenggaraan dan memberikan pengalaman perkongsian kereta yang lebih lancar dan berkesan. 

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah kemampanan, Moovby turut memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) dalam inisiatif itu, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang membolehkan pelajar merasai pengalaman mobiliti hijau secara langsung, seterusnya menggalakkan penggunaan EV dan menyokong pengangkutan yang lebih mampan di kampus seluruh negara. 

 

Naib Presiden Explorasi Pemasaran, Jaringan dan Pengurusan Pelanggan MMU, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, di MMU, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelajar. 

 

"Kerjasama dengan Moovby membolehkan kami menyediakan pilihan pengangkutan yang selamat, sambil mendidik pelajar tentang kebebasan dan tanggungjawab kewangan. 

 

"Kami yakin inisiatif ini akan meningkatkan pengalaman pelajar dengan menyediakan penyelesaian pergerakan yang praktikal dan berasaskan komuniti, sejajar dengan komitmen kami untuk membina persekitaran kampus yang selamat dan positif," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Moovby, Nik Muhammad Amin menyifatkan, program tersebut merupakan satu peralihan penting dalam usahanya untuk meluaskan akses pergerakan yang mudah bagi pelajar. 

 

"Kami yakin ia mampu menyediakan penyelesaian pengangkutan yang lebih mudah, selamat dan berasaskan komuniti, sambil mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi di kampus," ujarnya.

 

Tambah beliau, pihaknya giat berusaha untuk memperluaskan Moovby for University ke seluruh universiti di Lembah Klang, termasuk universiti awam dan swasta, agar lebih ramai pelajar dapat merasai manfaat inisiatif berkenaan. 

 

"Pengenalan kenderaan elektrik di kampus adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mempromosikan mobiliti hijau dan menyokong matlamat kelestarian di Malaysia,"jelasnya.

 

Perkongsian kereta atau car-sharing semakin mendapat perhatian di Malaysia dengan Moovby, yang kini mempunyai lebih 500,000 pengguna dan lebih 14,000 kenderaan tersedia untuk disewa, menjadi perintis kepada perubahan terbabit.

 

Sebagai syarikat pemula tempatan, Moovby terus berkembang sebagai peneraju dalam industri perkongsian kereta, memacu inovasi dalam mobiliti di peringkat nasional dan antarabangsa. - DagangNews.com