Mustaffa Kamal dinaikkan pangkat selaku CEO Dialog Group | DagangNews Skip to main content

Mustaffa Kamal dinaikkan pangkat selaku CEO Dialog Group

Mustaffa Kamal
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Okt - Dialog Group Bhd (Dialog) melantik Ketua Pegawai Operasinya (COO), Mustaffa Kamal Abu Bakar, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa 7 Oktober 2024.

 

Pelantikan itu selaras dengan strategi perniagaan dan perancangan penggantian kumpulan, memastikan ketahanan dan komitmen untuk mencipta nilai mampan bagi semua pemegang kepentingan, menurut satu kenyataan kepada Bursa Malaysia Securities.

 

Mustaffa Kamal, 60, mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam industri minyak, gas dan petrokimia.

 

Sebelum menyertai Dialog, beliau berkhidmat dengan Petronas Carigali Sdn Bhd selama lima tahun dan di beberapa syarikat minyak dan gas lain dalam bidang perundingan reka bentuk, pembinaan dan fabrikasi, penyelenggaraan serta perkhidmatan khusus.

 

Beliau juga pernah menjadi ahli majlis Persatuan Gas Malaysia.

 

Mustaffa Kamal menyertai Dialog pada tahun 2001 sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan (bahagian perkhidmatan loji) dan kemudiannya berkhidmat sebagai CEO Dialog E & C Sdn Bhd dan Dialog Plant Services Sdn Bhd.

 

Sementara itu, Dialog juga mengumumkan bahawa Pengarah Urusan sektor hulu minyak dan gas serta anggota pasukan kepimpinan eksekutif, Keith Collins, telah mengambil alih peranan COO juga berkuatkuasa 7 Oktober 2024.

 

Warganegara Britain berumur 63 tahun itu mempunyai pengalaman lebih 41 tahun dalam industri minyak dan gas, dengan kepakaran yang luas dalam pengurusan hulu, penggerudian, penyelesaian dan aktiviti pembangunan lapangan, baik di luar negara mahupun di Malaysia.

 

Sebelum menyertai kumpulan, beliau merupakan CEO Vestigo Petroleum, anak syarikat milik penuh Petronas Carigali selama tujuh tahun. - DagangNews.com