KUALA LUMPUR 16 Dis - Nestle (M) Bhd melantik Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi sebagai Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat Kumpulan itu untuk Malaysia dan Singapura, menggantikan Datuk Adnan Pawanteh yang bersara pada akhir November lalu selepas 40 tahun bersama syarikat tersebut.
Raja Nurmaria Murni menyertai Nestle pada tahun 2011 sebagai pengurus media & pengiklanan, bertanggungjawab terhadap strategi dan pelaksanaan media untuk semua jenama Nestle di Malaysia.
Pada 2015, beliau dilantik sebagai pengurus jenama kanan Milo dan kemudiannya pengurus pemasaran pengguna.
Pada 2021, beliau memegang jawatan pengurus jenama global bagi minuman berasaskan tumbuhan dalam unit perniagaan strategik tenusu di ibu pejabat Nestle S.A. di Vevey, Switzerland.
Terbaharu, Raja Nurmaria Murni mengetuai strategi global untuk Milo & Nescau sebagai ketua jenama global, memacu komunikasi dan inisiatif inovasi yang berfokuskan kelestarian.
"Rekod kepimpinan yang terbukti, pengurusan jenama yang mantap serta keupayaan beliau untuk mengharungi pasaran yang kompleks menjadikan beliau sebagai individu paling sesuai untuk jawatan tersebut," jelas Nestle dalam satu kenyataan. - DagangNews.com