Ninja Mart berjaya laksana Kempen Belanja & Menang dengan lebih 30,000 penglibatan peruncit | DagangNews Skip to main content

Ninja Mart berjaya laksana Kempen Belanja & Menang dengan lebih 30,000 penglibatan peruncit

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Nov - Platform pengedaran B2B dan penyelesaian sehenti oleh Ninja Van Malaysia, Ninja Mart, berjaya melaksanakan kempen Belanja & Menang dalam tempoh tiga bulan, bertujuan melibatkan dan memberi ganjaran kepada lebih 30,000 peruncit di seluruh kawasan utara, tengah dan selatan, dengan kempen nasional pertamanya.

 

Kempen itu disokong oleh empat penaja, Cricket, Indomie, Yoke Food Industries Sdn Bhd dan Karabao Marketing, serta menawarkan pelbagai hadiah menarik. 

 

Dengan mengumpul tiket melalui aplikasi Ninja Mart Cashback, peruncit boleh menyertai cabutan bertuah, dengan hadiah bernilai sehingga RM60,000. 

 

Kempen yang berlangsung antara 1 April 2024 hingga 30 Jun 2024 terbabit, berjaya menarik lebih 300,000 penyertaan dan mendaftarkan 6,000 pengguna baharu aplikasi, terutamanya dari peruncit luar bandar.

 

Ketua Negara Ninja Mart, Lin Zheng berkata, kejayaan kempen tersebut menekankan kepentingan dalam mengukuhkan hubungan dengan pasukan tempatan dan rakan jenama.

 

Ketua Ninja Mart, Matthew Sequerah Lee pula menyifatkan, pihaknya berjaya mencapai objektif kempen selain merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan jenama atas penajaan mereka.

 

Selain hadiah utama, sebanyak 200 kedai yang menyertai program kesetiaan pelanggan telah didaftarkan dalam program Komuniti Rewards Ninja Mart, manakala Program Ganjaran Jurujual mengiktiraf usaha tenaga jualan. 

 

Beg hadiah khas Ramadan juga diedarkan kepada peruncit yang membuat pembelian pelbagai kategori.

 

Kempen itu ditutup dengan majlis penyampaian hadiah secara langsung pada Ogos 2024, diikuti dengan tiga acara yang diadakan di Batu Pahat, Segamat dan Machang, di mana lebih 30 hadiah, termasuk sebuah Perodua Bezza dan motosikal Yamaha, telah diserahkan.

 

Sejak dilancarkan pada tahun 2022, Ninja Mart menyokong lebih 30,000 cawangan di seluruh negara, menggunakan teknologi logistik Ninja Van untuk menyediakan penyelesaian pemenuhan dan penghantaran yang komprehensif untuk peruncit bandar dan luar bandar. - DagangNews.com