KUALA LUMPUR 5 Nov - Operasi TGI Fridays Malaysia akan diteruskan seperti biasa dan tidak terjejas dengan pemfailan kebankrapan TGI Fridays Inc di Amerika Syarikat, kata Techna-X Bhd (Techna-X), yang memiliki Craveat International Sdn Bhd (Craveat International) iaitu pemegang francais utama TGI Fridays Malaysia.
Menurut Techna-X dalam satu kenyataan, Craveat International beroperasi di bawah perjanjian francais dengan TGI Fridays Franchisor LLC, yang berbeza daripada TGI Fridays Inc.
Techna-X turut mengumumkan beberapa perkembangan terkini untuk TGI Fridays Malaysia, termasuk pembukaan cawangan baharu di Mid Valley Megamall pada November 2024, pembukaan semula cawangan di Sunway Pyramid pada Disember 2024 dan pelancaran cawangan baharu di Putrajaya yang dijadualkan pada separuh pertama 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif TGI Fridays Malaysia, Lee Yew Jin berkata, pihaknya teruja untuk terus mengembangkan perniagaan di Malaysia dan membawa lebih banyak peluang kepada pelanggan untuk merasai That Fridays Feeling.
"Restoran tempatan kami tetap komited untuk menawarkan makanan dan perkhidmatan kepada pelanggan kami," katanya.
Pada Sabtu, TGI Fridays Inc, yang mengendalikan 39 restoran milik korporat di AS, memfailkan perlindungan kebankrapan Bab 11 di Dallas, Texas, bagi membolehkan syarikat menyusun semula dan menstrukturkan operasi kewangannya untuk memastikan kestabilan jangka panjang.
"Pemfailan ini hanya melibatkan restoran milik korporat di AS, manakala lokasi francais di seluruh dunia tidak terjejas," kata Techna-X.
Perlindungan kebankrapan itu dilaporkan dibuat selepas cabaran kewangan yang berpanjangan dan kegagalan perjanjian dengan pengendali restoran berpusat di UK, Hostmore.
Jenama TGI Fridays difrancaiskan kepada 56 pemegang francais di 41 negara melalui TGI Fridays Franchisor LLC dan semua lokasi francais, baik tempatan mahupun antarabangsa, dimiliki secara bebas serta tidak terlibat dalam proses pemfailan kebankrapan.
Techna-X, yang sebelum ini dikenali sebagai Sino Hua-An International Bhd, memperoleh Craveat International, yang mengendalikan TGI Fridays di Malaysia, serta pemilik jenama Teh Tarik Place, pada 2019.
Pada 2020, Techna-X melalui Craveat International, turut memperoleh Chaswood Restaurant Management (Beijing) Co Ltd, yang mempunyai hak untuk mengendalikan dan memasarkan TGI Fridays di Beijing, China.
Perolehan itu meletakkan pemilikan dua cawangan TGI Fridays di Beijing di bawah Techna-X, yang juga mengembangkan jenama Teh Tarik Place di China.
Harga saham Techna-X jatuh dua sen atau 16.67% untuk ditutup pada 10 sen pada Isnin, menjadikan nilai pasaran syarikat itu sebanyak RM24.03 juta. - DagangNews.com