OPUS International, HSS Engineering jalin usahasama strategik terajui pembangunan infrastruktur merentasi Asia Tenggara dan Asia Barat | DagangNews Skip to main content

OPUS International, HSS Engineering jalin usahasama strategik terajui pembangunan infrastruktur merentasi Asia Tenggara dan Asia Barat

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Okt – Firma perunding kejuruteraan dan pengurusan aset terkemuka, OPUS International (M) Berhad (OPUS) dan entiti terkemuka dalam perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek, HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE), mengumumkan pemeteraian Perjanjian Usahasama dan Pemegang Saham (Joint Venture and Shareholders' Agreement - JVSA).

 

Perkongsian strategik itu bertujuan mempercepatkan perluasan ke dalam pasaran infrastruktur pertumbuhan tinggi di seluruh Asia Tenggara (SEA) dan Asia Barat. 

 

Kerjasama tersebut adalah gabungan kepakaran OPUS dan HSS Engineering dalam menyampaikan rumusan komprehensif merentas perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal, pengurusan projek dan perundingan pengurusan aset serta rumusan kecekapan tenaga dalam pelbagai sektor infrastruktur. 

 

Usahasama itu bakal dimiliki 60% oleh OPUS dan 40% oleh HSSE. 

 

Berkongsi pendapatnya berkenaan kerjasama tersebut, Pengarah Urusan, OPUS, Hillary Chua berkata, usaha sama itu menandakan langkah transformatif dengan menggabungkan kepakaran OPUS dalam pengurusan aset dan kepakaran kecekapan tenaga dengan kehadiran dan rangkaian pasaran antarabangsa HSSE yang meluas. 

 

Katanya, berbekalkan pengalaman kejuruteraan lebih tiga dekad daripada OPUS dan HSSE, kedua-dua pihak terbabit mempunyai kelebihan menyampaikan rumusan infrastruktur yang inovatif dan mampan bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga untuk pasaran pertumbuhan tinggi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Barat.

 

"Kami berkongsi aspirasi bagi pertumbuhan yang tinggi, bertujuan untuk meningkatkan penyampaian amalan kejuruteraan bertaraf dunia dan perkhidmatan pengurusan aset sambil menyumbang kepada pembangunan infrastruktur rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSS Engineering Sdn Bhd, Ir. Sharifah Azlina Raja Kamal Pasmah berkata, usahasama itu membolehkan HEB Group dan Opus International menggabungkan kekuatan masing masing. 

 

"Dengan menggabungkan kepakaran HEB Group dalam reka bentuk kejuruteraan dan pengurusan projek bersama pendekatan inovatif Opus International seperti pengurusan aset, geoteknikal, kecekapan tenaga dan rumusan kelestarian, kami mempunyai pakatan kukuh untuk mencapai kejayaan. 

 

"Kerjasama ini pasti akan membawa manfaat sinergi dalam projek bersama kami. Kami berharap dapat membina kerjasama erat dengan Opus International bagi meningkatkan piawaian projek infrastruktur di landskap bandar moden,” tambah beliau.  - DagangNews.com