Pan Merchant failkan IPO di Pasaran ACE bagi ubah suai kilang pembuatan, kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Pan Merchant failkan IPO di Pasaran ACE bagi ubah suai kilang pembuatan, kembangkan perniagaan

Kilang pembuat penapis - Gambar hiasan dari laman web rasmi anak syarikat Pan Merchant, PMI Techology Sdn Bhd
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Dis - Pengeluar dan pentauliah penapis pepejal, Pan Merchant Bhd bercadang memfailkan tawaran permulaan awam (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurut draf prospektusnya, kumpulan itu berkata, hasil daripada IPO akan diperuntukkan bagi pembelian mesin dan peralatan, pengubahsuaian kilang pembuatan, pembangunan produk, pengembangan perniagaan serta modal kerja.

 

“Proses pembuatan kumpulan kami kini dijalankan di Kilang Jelapang 1, Kilang Jelapang 2 dan Kilang Lahat, Perak.

 

“Kumpulan kami berhasrat meningkatkan keupayaan pembuatan dengan membeli mesin, peralatan baharu serta mengubah suai kilang pembuatan,” katanya. 

 

IPO Pan Merchant melibatkan terbitan awam sebanyak 232.19 juta saham biasa baharu.

 

Daripada jumlah ini, 45.8 juta saham baharu akan disediakan bagi pemohon orang awam Malaysia, manakala 14.6 juta saham baharu akan digunakan oleh pengarah dan pekerja Pan Merchant yang layak, serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu.

 

Selain itu, 57.28 juta saham baharu akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 114.5 juta saham akan didagangkan melalui penempatan persendirian oleh pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Kumpulan itu juga menawar penjualan 18 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Affin Hwang Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO. - DagangNews.com