KUALA LUMPUR 6 Nov - Operator pembayaran QR utama di Jepun, PayPay meluaskan kerjasama dengan Alipay+, satu penyelesaian bayaran mudah alih dan pendigitalan merentasi sempadan milik Ant International.
Menerusi kerjasama tersebut, liputan pembayaran mudah alih Alipay+ meningkat kepada tiga juta pedagang yang disokong oleh ekosistem dompet rakan kongsi.
Kerjasama itu memenuhi permintaan terhadap pelancongan yang semakin meningkat, membolehkan pembayaran yang lancar dan selamat bagi pelancong antarabangsa untuk menikmati budaya tempatan.
Rakan kongsi e-dompet dan pedagang juga bekerjasama dengan Alipay+ untuk meningkatkan hubungan dengan pengguna menerusi inisiatif pemasaran.
Lebih daripada 20 jenama kini melakukan kempen dengan Alipay+, menawarkan pengguna rakan kongsi e-dompet Alipay+ diskaun di kira-kira 300,000 pedagang di Jepun termasuk kedai di lapangan terbang, gedung serbaneka, peruncit barangan elektronik dan perkakas, kedai kecantikan dan kesihatan, rangkaian kedai serbaneka dan gedung membeli-belah premium.
Bersama-sama dengan PayPay, Alipay+ menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Jepun kepada ekosistem pembayaran antarabangsa, membuka lebih banyak peluang pertumbuhan bagi kedua-dua perniagaan kecil dan rakan kongsi pembayaran.
Pelancong yang menggunakan aplikasi pembayaran rakan kongsi Alipay+ boleh menikmati pengalaman pembayaran lancar dengan mengimbas kod QR PayPay di pelbagai kedai mod pembentangan pedagang (merchant-presented mode, ataupun MPM) di seluruh Jepun, meskipun pedagang belum lagi memaparkan bahan promosi perniagaan Alipay+.
Rangkaian rakan kongsi aplikasi pembayaran Alipay+ di Jepun merangkumi 16 aplikasi e-dompet dan bank seperti Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong), MPay (Macau), Kakao Pay, Naver Pay dan Toss (Korea Selatan), OCBC Digital, Changi Pay dan EZ-Link (Singapura), e-dompet Touch ‘n Go dan MyPB oleh Public Bank Berhad (Malaysia), GCash dan HelloMoney (Filipina), Truemoney (Thailand), Hipay (Mongolia) dan Tinaba (Itali).
Pegawai Korporat Ketua Bahagian Strategi Kewangan Perniagaan PayPay,
Masayoshi Yanase berkata, pihaknya komited untuk membina ekosistem pembayaran lancar yang memperkasakan pedagang tempatan untuk berhubung dengan pelancong antarabangsa.
"Menerusi penyelesaian pembayaran yang mudah dan selamat, kami mempertingkatkan pengalaman perjalanan bagi pelancong antarabangsa.
"Bersama Alipay+, kami berhasrat untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Jepun dengan menyokong transaksi digital untuk perniagaan pelbagai saiz, dari di Tokyo yang sibuk sehinggalah ke destinasi rantau yang kian mendapat perhatian pelancong," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Ant International, Douglas Feagin berkata, kemudahan pembayaran kod QR menjadi bukti perubahan ketara dan masa depan aktiviti pelancongan.
"Bersama-sama dengan PayPay, kami memperkasakan pertumbuhan ekonomi inklusif dengan menghubungkan rangkaian pedagang Jepun yang pelbagai kepada permintaan peningkatan oleh pengguna antarabangsa bagi pengalaman tempatan unik menerusi ekosistem pembayaran antarabangsa dengan Alipay+," ujarnya. - DagangNews.com