PEKEMA, UUM jalin kerjasama perkasa penyelidikan dan pembangunan industri automotif negara | DagangNews Skip to main content

PEKEMA, UUM jalin kerjasama perkasa penyelidikan dan pembangunan industri automotif negara

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Dis - Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri automotif negara.

 

Sebagai simbol sokongan kepada usaha itu, majlis turut menyaksikan penyerahan empat replika cek kepada UUM. 

 

Tiga daripadanya mewakili geran kajian penyelidikan, manakala satu lagi adalah bagi membiayai Program Biasiswa Yayasan PEKEMA yang bernilai RM32,000. 

 

Program biasiswa tersebut menzahirkan komitmen PEKEMA dalam menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pendidikan tinggi di Malaysia.

 

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya untuk menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia. 

 

“Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja akan menghasilkan rumusan bagi memperkasa ahli-ahli PEKEMA, tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan akademik dan modal insan, yang menjadi teras kepada kemajuan negara,” katanya pada majlis pemeteraian MoU itu di Wisma Yayasan PEKEMA, semalam.

 

Acara berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Dr. Mohd Fo’ad Sakdan. 

 

Program biasiswa Yayasan PEKEMA merupakan inisiatif jangka panjang untuk menyokong pelajar yang berpotensi besar dalam bidang automotif, manakala geran kajian penyelidikan bertujuan menyediakan haluan strategik untuk membantu ahli-ahli PEKEMA dalam mengemudi laluan industri automotif yang dinamik.

 

Dengan adanya kerjasama tersebut, PEKEMA dan UUM berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara dunia akademik dan industri. 

 

Mohamed Nazari dalam pada itu berkata, gabungan kepakaran UUM dalam bidang akademik dan pengalaman PEKEMA dalam industri automotif diyakini mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.

 

Katanya, jalinan berkenaan adalah langkah proaktif dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ahli PEKEMA dalam menghadapi landskap automotif yang kian mencabar. 

 

"Melalui MoU ini, PEKEMA dan UUM akan bekerjasama rapat untuk menjalankan penyelidikan yang dapat memberikan wawasan strategik kepada ahli-ahli kami, termasuk strategi untuk inovasi produk, penambahbaikan operasi dan penerokaan insentif cukai," ujarnya.

 

Dr. Mohd Fo’ad pula berkata, penglibatan pihak industri dalam penyelidikan dan pembangunan berpotensi meningkatkan keupayaan industri tempatan. 

 

"Kerjasama ini akan membuka pintu kepada pertukaran pengetahuan, teknologi dan sumber, mewujudkan ekosistem yang dinamik dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara," katanya.

 

Beliau turut menekankan komitmen UUM sebagai rakan strategik PEKEMA, khususnya dalam memperkasa sektor automotif tempatan. - DagangNews.com