KUALA LUMPUR 5 Nov - Selepas tiga bulan berturut-turut menjadi pembeli, pelabur asing menjual RM1.77 bilion ekuiti tempatan pada Oktober 2024.
Maybank Investment Bank (Maybank IB), berkata jualan itu susulan serangan Iran ke atas Israel dan Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) pada November 2024.
Penganalisis Maybank IB, Anand Pathmakanthan berkata, belian bersih asing pada 2024 sehingga kini (YTD) menyusut kepada RM1.78 bilion berbanding RM2.34 bilion pada 2023.
"Institusi tempatan membeli RM1.64 bilion dalam ekuiti Malaysia pada Oktober berbanding RM460 juta pada September 2024.
"Sementara itu, pelabur runcit membeli RM140 juta dalam ekuiti Malaysia berbanding 50 juta pada bulan September 2024.
"Pergerakan dagangan (transaksi perniagaan secara langsung) pada Oktober mencatat purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak RM2.7 bilion manakala, penyertaan asing (kecuali transaksi perniagaan secara langsung) kekal tinggi pada 39.8% berbanding September, 42.6%.
"Penyertaan asing sehingga kini ialah 35.5%. Sementara itu, nilai perdagangan asing pada tahun 2024 adalah yang tertinggi iaitu 1.6x ganda berbanding tahun lepas," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Anand berkata, saham-saham bank menyaksikan aliran keluar pelabur asing paling teruk pada bulan Oktober (mengikut nilai), iaitu Public Bank, Maybank, CIMB, Tenaga dan YTL Power.
Sebaliknya, pembelian pelabur asing pada bulan itu tertumpu kepada RHB, Gamuda, Sime Peoperty, WCT dan Capital A.
Berkenaan bon ringgit pula, Anand berkata, ia menyaksikan aliran keluar perlahan pada September 2024 manakala, belian bersih pelabur asing YTD meruncing kepada RM1.78 bilion berbanding dengan RM2.34 bilion jualan bersih pada 2023.
"Bahagian asing MGS (Sekuriti Kerajaan Malaysia) meningkat kepada 34.8% walaupun aliran keluar asing lebih rendah selepas tempoh matang, manakala bahagian asing GII (Terbitan Pelaburan Kerajaan) turun kepada 9.4%.
"Sementara itu, jumlah bon dan ekuiti pada September menyaksikan aliran perlahan kepada RM1.6 bilion akibat aliran masuk ekuiti domestik juga yang lebih kecil sebanyak RM50 juta," katanya. - DagangNews.com