KUALA LUMPUR 5 Nov - Carrier Malaysia Sdn Bhd (Carrier) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan kerjasama strategik yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon di portfolio hartanah PHB.
Sebahagian daripada kerjasama strategik itu, PHB melantik Carrier sebagai pembekal utama dan penyedia perkhidmatan untuk sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) di aset PHB.
Pengarah Urusan Carrier Singapore, Malaysia dan Brunei, Chong Wai Yen berkata, sebagai peneraju global dalam penyelesaian iklim dan tenaga pintar, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan PHB.
"Melalui kerjasama ini, kami dapat membantu PHB dalam mengurangkan penggunaan tenaga dan kos operasi di samping dapat meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan bagi penghuni bangunan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, Carrier merancang untuk menjalankan audit tenaga, pengubahsuaian dan perundingan bagi mencapai penambahbaikan yang berterusan.
Usaha itu dilakukan untuk mengenal pasti keperluan intervensi bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga dan mengurangkan kos penyelenggaraan operasi secara menyeluruh.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, sebagai sebuah syarikat pelaburan hartanah utama, tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar menjadi keutamaan syarikatnya.
"Menerusi kerjasama ini, kami dapat meneroka penanda aras baharu kecekapan tenaga dalam industri, sekali gus memberi kesan positif kepada alam sekitar dan komuniti," ujarnya.
Elemen utama dalam kerjasama strategik itu termasuk pelaksanaan sistem HVAC cekap tenaga dalam pembangunan baharu dan pengubahsuaian aset sedia ada dengan teknologi terkini untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
Kerjasama tersebut memanfaatkan kepakaran dan teknologi HVAC inovatif Carrier, dengan matlamat memacu peningkatan kecekapan merentasi portfolio hartanah strategik nasional PHB.
Carrier dan PHB berhasrat untuk bersama-sama mencapai penanda aras kelestarian dalam persekitaran yang dibina. - DagangNews.com