KUALA LUMPUR 5 Nov - Lesen unit pengangkutan kargo Xin Hwa Holdings Bhd digantung oleh pihak berkuasa pada hari ini dan dijangka memberi kesan buruk kepada operasinya.
Firma perkhidmatan logistik itu berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Johor Bahru menggantung lesen anak syarikat milik penuhnya, Xin Hwa Trading & Transport Sdn Bhd (XHTT) berikutan kegagalannya mematuhi keperluan keselamatan.
Selain itu, penggantungan lesen itu adalah kerana kegagalan syarikat dalam memastikan semua kenderaan barangan di bawah kendaliannya dikekalkan dalam keadaan selamat untuk digunakan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan.
Katanya, penggantungan lesen itu akan berkuat kuasa dari 13 November 2024 sehingga 10 Februari 2025, atau sehingga XHTT mematuhi Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP-Keselamatan) sepenuhnya.
"XHTT tidak dibenarkan untuk mengendalikan atau menyediakan sebarang perkhidmatan menggunakan kenderaan yang dilindungi di bawah syarat lesen pengendalinya sepanjang tempoh penggantungan.
“Kami mengakui penggantungan itu akan memberi kesan buruk kepada operasinya.
"Sebagai tindak balas, kami sedang mengambil tindakan pembetulan segera bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap ICOP-Keselamatan,” katanya.
Sementara itu, XHTT rancang untuk mengemukakan rayuan bertulis rasmi berkaitan penggantungan itu.
Syarikat itu berharap melalui langkah tersebut, penggantungan itu dapat ditarik balik secepat mungkin bagi menyambung semula operasi tanpa menjejaskan piawaian keselamatan.- DagangNews.com