Permintaan perkhidmatan awan dijangka naik berikutan pelaburan gergasi teknologi dalam pusat data - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Permintaan perkhidmatan awan dijangka naik berikutan pelaburan gergasi teknologi dalam pusat data - Kenanga Research

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov - Kenanga Research menjangkakan kenaikan dalam permintaan untuk perkhidmatan awan memandangkan penyedia perkhidmatan awan global (CSP) terus melabur dengan banyak dalam pusat data, awan dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam kalangan syarikat yang akan memanfaatkan pelaburan itu termasuk Telekom Malaysia Bhd, Maxis Bhd, CelcomDigi Bhd, OCK Group Bhd, TIME Dotcom Bhd, Dagang Nexchange Bhd, Vstecs Bhd dan SNS Network Technology Bhd.

 

“Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka memanfaatkan pelaburan itu,memandangkan jangkaan daya tahan dalam permintaan elektrik daripada pusat data.

 

"Syarikat gergasi teknologi global secara kolektif telah berjanji untuk melabur melebihi AS$16.5 bilion dalam bidang ini

 

"Ia termasuk CSP berskala besar seperti AWS (AS$6.2 bilion), Microsoft (AS$2.2 bilion), Google (AS$2 bilion) dan Oracle (AS$6.5 bilion).Microsoft (AS$2.2 bilion), Google (AS$2 bilion) and Oracle (AS$6.5 bilion)," katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Katanya, pelaburan ini dijangka memangkinkan permintaan awan kerana pusat data menempatkan pelayan yang menyediakan kapasiti storan dan kuasa pengkomputeran yang penting untuk penghantaran perkhidmatan awan.

 

"Bertentangan dengan beberapa pendapat, ledakan pusat data tidak mewujudkan situasi lebihan bekalan, manakala bekalan kuasa bukan kekangan kerana TNB telah menjelaskan kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan.

 

"TNB telah menerima lebih 70 permohonan bekalan elektrik untuk pusat data di Johor dan Lembah Klang, dengan jumlah permintaan maksimum melebihi 11,000 megawatt (MW).

 

"Pada masa ini, jumlah kapasiti terpasang di Semenanjung Malaysia ialah 27,385 MW, dengan permintaan grid sekitar 18,000 MW," katanya.

 

Firma penyelidikan itu juga berkata, bahawa YTL Power percaya bahawa tidak ada isu lebihan bekalan kerana dunia bergerak pantas ke ruang teknologi canggih.

 

“Permintaan bekalan pusat data baharu sedang berkembang pesat,memandangkan lokasi Malaysia yang strategik, ketiadaan bencana alam yang relatif, bekalan elektrik dan air yang konsisten dan stabil, bersama-sama dengan sokongan kerajaan, menjadikannya destinasi menarik bagi gergasi teknologi untuk menubuhkan pusat data mereka.

 

“YTL Power percaya Malaysia harus merebut peluang ini, memandangkan industri pusat data agak muda.

 

“Sementara itu, YTL Power tidak menjangkakan kelewatan dalam penghantaran cip AI dan menjangkakan cip Blackwell Nvidia, akan ditempatkan di pusat data AI 20MW, akan dihantar mengikut jadual pada suku pertama 2025. Bekalan kuasa bukan satu isu,” katanya. - DagangNews.com