KUALA LUMPUR 20 Jan - AMMB Holdings Bhd berpotensi untuk menaikkan pembayaran dividen berdasarkan nisbah modal ekuiti biasa Tahap 1 (CET-1) yang sihat, kata CGS International Research.
Firma penyelidikan itu berkata, dalam jangka masa panjang, AMMB juga menyasar untuk meningkatkan margin faedah bersih (NIM) dengan mengoptimumkan campuran asetnya bagi menjana hasil yang lebih tinggi.
Ini merupakan beberapa perkara penting yang digariskan oleh Ketua Pegawai Kewangan AMMB, Shafiq Abdul Jabbar semasa Hari Korporat Malaysia 2025 anjuran CGSI Research baru-baru yang mengumpul sejumlah kira-kira 15 pelabur institusi semasa mesyuarat itu.
Perbincangan tersebut menumpukan kepada sasaran kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 hingga 2029 (FY25 hingga FY29), garis panduan NIM dan rancangan pengurusan modal.
CGSI International berkata, kumpulan tersebut menetapkan tiga sasaran kewangan termasuk menambahbaikkan pembayaran dividen, menurunkan nisbah kos pada pendapatan kepada 40% dan meningkatkan pulangan atas aset (ROA) kepada 1.1%.
“Nisbah pembayaran dividen AMMB berada pada aliran menaik kepada 11% pada FY22 dan 35% pada FY23.
“Kami mengunjurkan nisbah pembayaran itu meningkat kepada 40% memandangkan komitmen bank untuk menaikkan pembayaran dividennya.
“Selain itu, nisbah modal CET-1 AMMB sebanyak 13.7% pada 24 September 2024 tidak jauh dari paras 14% hingga 15% yang bank anggap selesa,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagaimanapun, CGSI International berkata, bank itu menjangkakan gangguan dalam aliran menaik NIM pada suku ketiga FY25 (3Q25) disebabkan oleh persaingan deposit bermusim menjelang akhir tahun.
“Melangkah ke hadapan, AMMB menyasarkan untuk menambah baik NIM pada 4Q25 dan FY26 dengan mengoptimumkan campuran asetnya ke arah aset berpendapatan yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" pada saham AMMB disokong oleh nisbah harga pendapatan 2025 yang menarik sebanyak sembilan kali ganda.
“Kami mengekalkan ramalan pendapatan sesaham FY25 hingga FY27 kumpulan dan harga sasaran (TP) berasaskan model diskaun dividen sebanyak RM6.14,” katanya. - DagangNews.com