Peningkatan jualan racun herba di Brazil, Kenanga Research yakin untung Ancom Nylex kembali normal bermula 2HFY25 | DagangNews Skip to main content

Peningkatan jualan racun herba di Brazil, Kenanga Research yakin untung Ancom Nylex kembali normal bermula 2HFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Keuntungan Ancom Nylex Bhd diyakini kembali normal bermula separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) disokong peningkatan jualan racun herba monosodium methanearsonate (MSMA) di Brazil.

 

Kenanga Research berkata, keuntungan pada 1HFY25 kumpulan itu mencatatkan penyusutan kesan kos pengangkutan yang tinggi akibat impak pertukaran mata wang asing dan kadar cukai yang lebih tinggi. 

 

Katanya, jualan MSMA di Brazil mungkin meningkat bagi tempoh dua hingga tingga tahun akan datang, ketika ini kumpulan itu sudah menjual produk itu kepada pengusaha ladang tebu di negara itu.

 

"Ketika ini, kumpulan itu sedang membuat permohonan untuk menjual MSMA kepada sektor kacang soya yang lima kali ganda lebih luas daripada kawasan penanaman tebu," katanya dalam satu nota kajian. 

 

Terdahulu, bagi suku kedua berakhir 30 November 2024, untung bersih Ancom Nylex merosot kepada RM15.16 juta daripada RM22.12 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM450.71 juta daripada RM505.16 juta setahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 November 2024, untug bersih Ancom Nylex turun kepada RM28.37 juta daripada RM42.92 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Kenanga Research berkata, jualan pengawet kayu mencatatkan peningkatan antara 30% hingga 40% sejak FY24, hasil kontrak tiga tahun yang dimeterai pada Jun 2024. 

 

Katanya, bagaimanapun, kos pengangkutan yang meningkat sebanyak RM13 juta memberi kesan terhadap margin.

 

"Bagaimanapun, pengawet kayu kumpulan kekal menguntungkan dan caj pengangkutan ke kebanyakan destinasi mula berkurangan kecuali pelabuhan Amerika Syarikat (AS) seperti Savannah dan Memphis," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Ancom Nylex kerana kedudukannya sebagai pengeluar bahan aktif racun herba terbesar di Asia Tenggara, penerima manfaat daripada larangan meluas penggunaan Paraquat dan berkemungkinan menerima keuntungan daripada ketegangan perdagangan AS-China.

 

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham," katanya.- DagangNews.com