Penang Port yakin kerajaan luluskan pelan induk perluasan NCBT bernilai RM2.2 bilion | DagangNews Skip to main content

Penang Port yakin kerajaan luluskan pelan induk perluasan NCBT bernilai RM2.2 bilion

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port, Datuk Sasedharan Vasudevan - Gambar Johardy Ibrahim/DagangNews
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PULAU PINANG 24 Sept - Penang Port Sdn Bhd tidak menjangka ada sebarang isu yang menyebabkan kerajaan masih belum meluluskan pelan induk perluasan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) bernilai RM2.2 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, pihaknya yakin kelulusan kerajaan akan diperoleh walaupun mengakui kelewatan yang berlaku sedikit luar dari kebiasaan.

 

"Kami yakin kelulusan tetap diperoleh kerana perluasan terminal itu sememangnya tertera di dalam perjanjian konsesi Penang Port, yang berlangsung sehingga 2055.

 

"Oleh itu, kita menyediakan pelan induk pembangunan pelabuhan 30 tahun dan telah dikemukakan kepada kerajaan pada 2023," katanya pada taklimat media di ibu pejabat Penang Port di sini pada Isnin.

 

Sasedharan berkata, pihaknya peka dengan semua kawasan baru pembangunan ekonomi kerajaan termasuk di utara Perak dan Kedah.

 

"Kita menjangkakan pertambahan permintaan pasaran kontena dan peningkatan eksport menerusi jalan laut.

 

"Jadi kita kena bersedia. Ini kerana bila diluluskan, kami memerlukan masa 18 hingga 24 bulan bagi memulakan kerja penambakan dan pembinaan, termasuk ujian alam sekitar," jelas beliau.

 

Setakat ini, Penang Port sudah membelanjakan lebih RM700 juta bagi menaik taraf infrastruktur di kesemua enam dermaga kendaliannya merangkumi perluasan jeti, kelengkapan sistem IT, perkhidmatan feri dan terminal baharu kapal pelayaran mewah.

 

 

Ncbt
Terminal Kontena Butterworth Utara kendalian Penang Port. - Gambar Johardy Ibrahim/DagangNews

 

 

Mengenai kendalian kontena, Sasedharan berkata, Penang Port menyasar mengendalikan 1.5 juta unit bersamaan 20 kali (TEU) tahun ini, naik sedikit daripada 1.44 juta TEU pada 2023.

 

Merujuk kepada ketegangan di Laut Merah yang memuncak pada April lalu, Penang Port terjejas antara 50,000 hingga 70,000 TEU.

 

Sebagai usaha menangani isu Laut Merah, Sasedharan berkata, pihaknya menumpukan perhatian kepada pasaran pemindahan kapal Teluk Benggala yang terdiri daripada India, Sri Lanka dan Bangladesh, Myanmar serta Indonesia.

 

"Teluk Benggala memiliki potensi besar iaitu dianggarkan daripada 8 juta kontena, Penang Port menyasarkan 100,000 kontena dalam tenpoh terdekat.

 

"Tahun ini kita sudah pun mengendalilan 30,000 hingga 40,000 kontena daripada Teluk Benggala," ujar beliau lagi. - DagangNews.com