Pendapatan TSH dianggar pulih secara beransur-ansur pada 4QFY24, didorong peningkatan harga minyak sawit mentah, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan TSH dianggar pulih secara beransur-ansur pada 4QFY24, didorong peningkatan harga minyak sawit mentah, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pendapatan TSH Resources Bhd dianggar pulih secara beransur-ansur pada 4QFY24 didorong harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi  dan hasil pengeluaran bertambah baik.

 

RHB Investment berkata, bagaimanapun, peningkatan kos pengeluaran kekal menjadi kebimbangan ketika ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras kumpulan pada 9MFY24 berada di bawah jangkaan, berada antara 63% hingga 79% daripada anggaran setahun penuh.

 

"Keuntungan teras 3QFY24 menjunam sebanyak 38% kepada RM23.7 juta.

 

"Sisihan utama datang daripada pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih lemah daripada jangkaan pada 9MFY24 dan kadar cukai berkesan yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 30% pada 3QFY24 dan 27% pada 9MFY24.

 

"Ini bagaimanapun diimbangi perbelanjaan faedah yang lebih rendah dan sumbangan syarikat kerjasama (JV) yang lebih tinggi, menjadikan pertumbuhan keuntungan teras 9MFY24 kepada 46%," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, anggaran kos pengeluaran 9MFY24 meningkat 11.6%  kesan penurunan pengeluaran BTS, walaupun TSH memperoleh keperluan baja FY24 pada harga antara 5% hingga 10% lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati dengan hasil keluaran yang lemah dan ada masa sama meningkatkan lagi andaian kos unit sebanyak 2% hingga 6% bagi FY24 hingga FY26.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham," katanya. - DagangNews.com