Tema Hari Antirasuah Antarabangsa 2024 tahun ini, ‘Bersatu Bersama Belia Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Hari Esok’, merupakan seruan kepada setiap lapisan masyarakat negara ini untuk menggembleng tenaga dan berjuang bersama-sama ke arah melahirkan generasi belia kalis rasuah dan komuniti bebas rasuah.
Tema ini amat signifikan sekali kerana ia bukan sahaja menggambarkan betapa pentingnya elemen integriti menjadi budaya dan acuan masyarakat dalam memerangi rasuah yang sekian lama menjadi barah, malah sebagai manifestasi pihak kerajaan dalam menyemai jiwa membenci rasuah di kalangan anak-anak muda.
Dalam tempoh lima tahun sejak 2019, seramai 2,332 belia berusia 16 hingga 40 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas pelbagai kesalahan rasuah. Angka ini cukup membimbangkan dan patut menjadi iktibar dalam menuntut keazaman semua pihak dalam menangani gejala rasuah agar dapat dibendung secara lebih berkesan, serius dan menyeluruh.
Sejajar dengan komitmen Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang mendokong agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di mana salah satu teras strategik WKB2030 adalah menggariskan usaha memerangi rasuah dan melaksanakan reformasi secara menyeluruh, MASA juga menyeru agar tadbir urus negara dijalankan dengan penuh terancang, kukuh dan penuh integriti.
Sebagai kesinambungan WKB2030 dan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023, MASA juga menggesa kerajaan untuk mewujudkan mekanisme pemantauan yang komprehensif bagi memastikan keberhasilan pelaksanaan pelan strategik dan strategi pencegahan rasuah di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 agar ia mampu menjadi titik tolak kepada usaha pengukuhan governans, pembudayaan integriti serta pencegahan rasuah.
Perjuangan memerangi rasuah mesti dijiwai dan dihayati oleh setiap belia negara ini. Janganlah ia tinggal ikrar semata-mata! Justeru, pendedahan awal berkaitan pendidikan pencegahan rasuah perlu diangkat menjadi keutamaan kerajaan dalam meningkatkan kesedaran awam serta menyebar luas mesej antirasuah di semua peringkat akar umbi.
Inisiatif membanteras rasuah seharusnya bermula dengan peranan para ibu bapa di rumah, disusuli dengan peranan tenaga pengajar di peringkat sekolah dan universiti. Di sekolah misalnya, peranan Rakan Muda perlu diperkasa untuk memberi nafas baharu kepada usaha melahirkan belia berminda benci rasuah menerusi kaedah inovatif seperti penerapan elemen sukan dan kesenian dalam pendidikan antirasuah.
Usaha sama merentas kementerian dengan Rasuah Busters juga berupaya mendukung aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kesedaran pelajar tentang nilai integriti dan antirasuah. Sebagai contoh, menerusi penubuhan Kelab Rasuah Busters di sekolah serta pengukuhan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah di peringkat universiti.
MASA berharap kerajaan akan terus mempergiat jalinan kolaborasi dengan organisasi masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menggerakkan jelajah antirasuah dan program-program kesedaran secara meluas ke seluruh negara.
Pada masa sama, pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta pastinya dapat membuka peluang untuk mendekati golongan belia di luar sistem pendidikan formal dalam usaha pencegahan dan pendidikan antirasuah.
Tindakan mewajarkan atau memberi justifikasi kepada amalan rasuah hanya akan menjadi benih yang akhirnya menjadi sistemik dalam masyarakat. Lebih parah lagi sekiranya ia diterima sebagai suatu norma dalam kehidupan masyarakat.
Justeru, kerajaan perlu menterjemahkan iltizam politik dalam menganjak strategi pencegahan rasuah serta memperkasa pendidikan antirasuah agar hasrat Malaysia menduduki tangga 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2033, dapat dikecapi.
Tiba masanya kita berganding bahu ke arah menjayakan agenda negara sifar rasuah kerana setiap tindakan kecil mampu membawa kepada perubahan yang positif.
Selamat Menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa 2024. - DagangNews.com