KUALA LUMPUR 5 Dis — Pengasas FashionValet Sdn Bhd Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan RM8 juta dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) enam tahun lalu.
Vivy Yusof, yang nama penuh Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Pasangan itu, sebagai pengarah FashionValet Sdn Bhd, didakwa menyalahgunakan dana pelaburan yang diamanahkan kepada mereka dengan memindahkan RM8 juta daripada akaun bank syarikat kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FashionValet.
Kesalahan yang didakwa berlaku di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, pada 21 Ogos 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan sehingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. - DagangNews.com