Pengenalan cukai karbon dijangka terus meningkatkan kos pengeluaran keluli, kata CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Pengenalan cukai karbon dijangka terus meningkatkan kos pengeluaran keluli, kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Dis - Pengenalan cukai karbon pada 2026 yang menyasarkan industri besi, keluli dan tenaga, ditambah dengan pertambahan kos berkaitan pekerja asing, dijangka meningkatkan kos pengeluaran keluli, kata CIMB Securities.

 

Katanya, ia akan menambah tekanan margin bagi pembuat keluli Malaysia, yang sedang bergelut dengan ketidaktentuan mengenai potensi perubahan dasar tarif di bawah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran keluli global.

 

"Kami menjangkakan ancaman tarif keluli tambahan kelihatan masih belum pasti buat masa sekarang kerana pentadbiran AS sebelum ini mengenakan levi baharu 25% ke atas import keluli dan aluminium China di bawah Seksyen 301 pada September 2024.


"Ia adalah tambahan kepada duti 25% dan 10% yang dikenakan ke atas penghantaran keluli dan aluminium dari China yang diperkenalkan semasa penggal pertama Presiden Donald Trump pada Mac 2018.

 

"Kami menganggarkan purata duti import bagi keluli dan aluminium China kini masing-masing pada 50% dan 35%," katanya dalam satu nota kajian.

 

CIMB Securities berkata, China bukanlah pengeksport utama keluli dan aluminium ke pasaran AS, pada 2023, produk China hanya menyumbang 3% daripada import keluli AS, dan 4.5% daripada import aluminium.

 

"Bagaimanapun, peningkatan berpanjangan dalam polisi tarif boleh menjejaskan pemulihan sektor keluli dalam sekurang-kurangnya dua aspek: pengenaan tarif ke atas pasaran keluli bukan China mungkin menutup potensi kelemahan yang membolehkan logam China mengelak daripada tarif AS, yang berpotensi mendorong pengalihan lebihan kapasiti keluli China ke pasaran lain yang tidak membina halangan tarif.

 

"Ini termasuk kekuatan dolar AS yang diperbaharui boleh menjejaskan pemulihan global permintaan logam asas," katanya.

 

CIMB Securities berkata, walaupun dalam keadaan operasi yang sukar, terdapat faktor yang boleh membantu menyokong industri keluli domestik. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan harga keluli tempatan akan turun naik dalam jangka pendek, tetapi akan stabil pada 2025 apabila pengeluar keluli menyerahkan kos tambahan kepada pelanggan akhir.

 

"Bagi menyamakan kedudukan, import keluli Malaysia berkemungkinan tertakluk kepada cadangan cukai karbon yang dinyatakan di atas, dengan hasil akan disalurkan kepada dana peralihan hijau negara.

 

"Terdapat tanda-tanda China boleh mendedahkan rangsangan baharu pada 2025 yang akan membantu meningkatkan Kembali percambahan import keluli murah yang kini membebankan harga keluli serantau," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor itu dengan Malayan Cement Bhd dan Ann Joo Resources Bhd sebagai pilihan utamanya kerana kehadiran kukuh mereka dalam industri. - DagangNews.com