Penggabungan MISC dijangka naikkan penilaian Bumi Armada - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Penggabungan MISC dijangka naikkan penilaian Bumi Armada - PublicInvest

Gambar hiasan dari laman web rasmi Bumi Armada
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Nov - Penggabungan antara Bumi Armada Bhd dan perniagaan luar pesisir MISC Bhd dijangka meningkatkan penilaian Bumi Armada, kata Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kapasiti kewangan yang dipertingkatkan akan membolehkannya meneruskan projek penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung berintensif modal (FPSO).

 

PublicInvest berkata, pemegang saham Bumi Armada boleh mendapat keuntungan daripada peningkatan pendapatan melalui 12 aset operasi di bawah MISC dan penyepaduannya ke dalam kumpulan Petronas.

 

"Kami menyemak unjuran pendapatannya berikutan lanjutan dua tahun piagam Armada TGT-1, bernilai AS$74.4 juta bersamaan RM332.7 juta.

 

"Sambungan kontrak sehingga 2034 itu meningkatkan buku pesanan Bumi Armada kepada RM10.2 bilion.

 

"Kami juga melaraskan unjuran pendapatan FY25 dan FY26 Bumi Armada, menaik sebanyak 10% dan mengekalkan panggilan "outperform" dengan harga sasaran (TP) disemak semula sebanyak 67 sen sesaham, meningkat daripada 65 sen," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Walaupun menghadapi cabaran daripada harga minyak yang berpotensi rendah, PublicInvest yakin terhadap pendapatan tetap Bumi Armada daripada kontrak FPSO.

 

Dalam satu nota penyelidikan yang berasingan, MIDF Research meningkatkan unjuran pendapatannya terhadap Bumi Armada bagi FY24/FY25/FY26 masing-masing sebanyak 5%, 4% dan 2%.

 

Ia menetapkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu iaitu, 88 sen sesaham, berbanding 85 sen sebelumnya.

 

"Antara pemacu utama yang mendorong keputusan semakan unjuran kami adalah pengurangan kemerosotan aset Olombendo dan Kraken, permulaan piagam Sterling V dan kemajuan dalam PSC Akia ke arah penilaian menjelang akhir tahun.

 

"Walaupun optimis, kami tetap berhati-hati tentang hasil penggabungan itu yang dijangka menjelang FY25," kata MIDF. - DagangNews.com