Penggunaan AI oleh kerajaan mampu kurangkan rasuah - Azalina | DagangNews Skip to main content

Penggunaan AI oleh kerajaan mampu kurangkan rasuah - Azalina

Gambar BoliviaInteligente/ Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Okt - Penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh kerajaan mampu membantu mengurangkan kes rasuah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

 

Azalina berkata, teknologi AI adalah automatik dan dapat mengurangkan kemungkinan individu membuat keputusan yang mungkin terdedah kepada rasuah.

 

"Semua orang tahu bahawa apabila kita bercakap tentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kehadiran AI hari ini secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan rasuah, sama ada kita suka atau tidak.

 

 

"Inilah sebabnya teknologi ini adalah langkah ke hadapan untuk memperbaharui institusi, dengan undang-undang baharu dan sistem teknologi sedia ada yang memudahkan perubahan," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Rabu. 

 

Jelas beliau, sistem AI lebih berkomputer dan tiada individu belakang tabir mempunyai kepentingan untuk dirasuah.

 

Azalina berkata demikian sebagai respons kepada soalan tambahan daripada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai rancangan kerajaan untuk memperluaskan pembaharuan institusi dalam sektor kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kebebasan institusi tersebut.

 

Sementara itu, beliau menambah, pembaharuan institusi tidak hanya melibatkan penambahbaikan perundangan, tetapi juga peranan semua pihak yang terlibat.

 

"Itulah sebabnya saya percaya kita mesti memahami bahawa penambahbaikan undang-undang bukanlah penyelesaian kepada semua masalah.

 

"Undang-undang di negara kita dan institusi sedia ada mesti berkembang mengikut zaman," katanya. - DagangNews.com