Pengukuhan nilai ringgit dipacu perkembangan pasaran global, prestasi ekonomi domestik - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Pengukuhan nilai ringgit dipacu perkembangan pasaran global, prestasi ekonomi domestik - Amir Hamzah

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Perkembangan pasaran global serta prestasi ekonomi domestik yang positif menjadi antara pendorong kepada pengukuhan nilai ringgit pada tahun ini.

 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sejak 2022, kadar dasar yang lebih tinggi di negara ekonomi utama telah menarik dana pelabur dari negara membangun termasuk Malaysia. 

 

Beliau berkata, dengan peralihan pendirian dasar monetari ekonomi utama global, terutamanya Amerika Syarikat (AS) yang telah mula menurunkan kadar dasar, tingkah laku (sentimen) pelabur turut berubah berikutan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil. 

 

Katanya, perkembangan ini telah menyebabkan kesanggupan mengambil risiko (risk appetite) pelabur terhadap mata wang pasaran yang pesat membangun (emerging market currencies) termasuk ringgit meningkat.

 

"Selain perkembangan global, Ringgit Malaysia menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding mata wang serantau didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan.
 

"Pendekatan kerajaan meyakinkan kerana mengambil pendekatan pertamanya, menetapkan hala tuju jelas melalui kerangka Ekonomi Madani dan keduanya, menyusuli dengan pelaksanaan pembaharuan dasar termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyasaran subsidi elektrik, air dan diesel. 

 

"Kerangka Ekonomi Madani juga disokong melalui kertas dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menetapkan strategi dan fokus pelaburan negara untuk  menyokong peralihan ekonomi negara supaya lebih makmur, mampan dan terangkum," katanya ketika menjawab Pertanyaan Lisan Chong Zhemin (PH-Kampar) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Jawapan lisan itu dibacakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

 

Amir Hamzah berkata, asas ekonomi negara juga bertambah kukuh dengan pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9% berbanding suku pertama 4.2%, pengangguran terus menurun ke paras 3.2%pada Ogos 2024 selaras dengan keadaan sebelum COVID-19 dan inflasi Ogos 2024 pada 1.9% kekal pada tahap terkawal berbanding 2% untuk tiga bulan sebelumnya.

 

Selain itu, beliau berkata, pelaburan yang diluluskan, perdagangan serta indeks pengeluaran perindustrian menunjukkan prestasi yang lebih kukuh serta sistem kewangan yang teguh turut menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit. 

 

"Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengambil tindakan terselaras untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat. 

 

"Langkah ini membantu mewujudkan aliran dua hala yang lebih rancak dalam pasaran pertukaran asing domestik seterusnya membantu mengukuhkan nilai ringgit," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh BNM akan terus didorong oleh perkembangan domestik Malaysia yang mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi. 

 

Katanya, ketika bank pusat Amerika Syarikat meningkatkan kadar dasarnya secara mendadak, BNM tidak ikut bersama dengan menaikkan OPR kita ke lingkungan 5%. Sebaliknya, OPR kekal di paras yang sama.  

 

"Prinsipnya tetap sama untuk situasi sekarang. Pertimbangan BNM berbeza daripada bank pusat lain dan lebih bergantung kepada keadaan yang kita sendiri. 

 

"Ekonomi Malaysia pada masa ini berada pada tahap yang menggalakkan, dan tekanan harga masih terkawal. Paras OPR pada masa ini adalah kondusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.- DagangNews.com